HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Januari 2009

BN perlu perubahan drastik - Muhyiddin

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) kini melalui ujian paling getir dan jika tidak ada tindakan drastik diambil untuk menangani kemerosotan sokongan maka gagasan pemerintahan itu mungkin menghadapi kemusnahan.

Calon Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, walaupun BN merangkumi 13 parti komponen khususnya Umno cuba memperbaiki imej parti untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan lebih banyak usaha perlu dilakukan dengan segera.

"Kita tidak bekerjasama dalam usaha kita. Oleh kerana kita lambat melakukan perubahan, ramai berpendapat Umno tidak akan berubah.

"Jika ambil masa terlalu lama untuk berubah maka orang tidak akan menunggu untuk kita.

"Situasi kekalahan dua pertiga majoriti BN di Parlimen selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas masih tidak berubah.

"Kita perlu lebih berkesan dan melaksanakan perkara luar biasa pada masa luar biasa," katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin di MINES Golf and Beach Resort di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Umno bukan sahaja tulang belakang BN yang perlu berubah tetapi juga parti komponen lain sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.

"Situasi akan bertambah teruk jika kita menunggu lama untuk melaksanakan perubahan.

"Umno mesti memimpin dalam melakukan perubahan drastik. Kita khuatir dengan situasi ini," jelasnya.

Beliau berkata, terdapat banyak program yang perlu dilaksanakan dan pemimpin akar umbi perlu bekerjasama dengan pemimpin atasan untuk melaksanakan perubahan tersebut.

Mengenai ekonomi negara, Muhyiddin berkata, keadaan Malaysia adalah lebih baik dalam menghadapi krisis ekonomi global berbanding negara lain.

Beliau, yang baru kembali dari mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam rangka lawatan ke Bahrian, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), berkata, walaupun negara tidak mengalami kemelesatan ekonomi namum situasi ekonomi global tidak berkembang.

"Rakyat Malaysia harus tabah menghadapi perubahan. Walaupun kita tidak menghadapi kemelesatan ekonomi namun perlu mengambil langkah meringankan impak krisis ekonomi global," katanya.

Sementara itu, kejohanan golf amal itu berjaya mengumpul RM20,000 yang disumbangkan kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Gaza, anjuran akhbar Berita Harian.

Tiada ulasan: