HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Januari 2009

Harga gula naik selepas Tahun Baru Cina?

UTUSAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Kerajaan masih belum memutuskan kadar harga baru gula yang mungkin dinaikkan selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, proses mengumpul dan menganalisis maklumat mengenai harga gula sedang berjalan sebelum keputusan dibuat.

"Semuanya dalam pertimbangan, masih lagi dalam proses ambil dan kumpul maklumat. Belum buat keputusan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ke majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru di sini hari ini.

Shahrir berkata, pengumuman kemungkinan harga gula dinaikkan selepas Tahun Baru Cina tidak menyebabkan berlaku masalah kekurangan bekalan bahan itu.

Setakat ini, katanya, beliau hanya menerima aduan mengenai masalah itu di Sabah namun ia telah diatasi.

Sebelum ini, Shahrir mengumumkan, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan harga gula berikutan harga barangan itu meningkat di pasaran antarabangsa.

Menurutnya, 80 hingga 90 peratus bekalan gula negara adalah dari luar negara dan kontrak pembekalan gula dari negara pengeluar telah tamat tahun lalu.

Kontrak baru meletakkan harga yang lebih tinggi daripada kontrak lama.

Justeru, jika harga gula kekal pada RM1.45 sekilogram, kerajaan terpaksa memberi subsidi untuk barangan itu.

Tiada ulasan: