Harakahdaily
KUALA LUMPUR - Gerakkan Memansuh Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP akan mengadakan pelancarannya pada Sabtu ini (31 Januari ) jam 3 petang di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Setiausaha GMP Hasni Abas berkata keputusan perlancaran ini telah diputuskan pada mesyuarat Badan Induk GMP pada 20 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Dato' Dr Hassan Ahmad yang juga Pengerusi GMP.
Perlancaran ini akan dipimpin oleh Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka malah bakal hadir adalah pejuang-pejuang bahasa, pimpinan politik dan dari pelbagai NGO.
"Semua mereka yang menyokong perjuangan GMP dijemput hadir khususnya yang tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Kata Hasni perlancaran ini adalah aktiviti pertama GMP yang dibuat secara terbuka dan akan dilanjutkan melalui 'road-show' ke negeri-negeri yang akan dilaksanakan pada bulan Februari ini manakala mesyuarat bersama pengerak-pengerak di peringkat negeri akan di adakan padaJumaat 30 Januari di Kuala Lumpur.
"Aktiviti ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengapa PPSMI mesti dimansuhkan seterusnya mengajak semua lapisan masyarakat bersama-sama dalam Himpunan 100 ribu di Istana Negara pada Sabtu 7 Mac ini.
Selain itu penyerahan memorandum pemansuhan PPSMI kepada semua ahli Parlimen Malaysia akan diadakan pada Selasa 17 Februari di hadapan Parlimen, katanya.
Sebelum ini GMP pernah menyerahkan memorandum pemansuhan PPSMI kepada Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Terengganu. Bagaimanapun usaha untuk menyerahkan memorandum kepada Barisan Nasional (BN) gagal kerana tidak diberi ruang oleh pimpinan BN.
"Memorandum ini adalah salah satu usaha pihak GMP untuk mendesak pihak kerajaan dan pembangkang memperdebatkan isu ini dalam parlimen dalam waktu yang terdekat.
"Pemansuhan dasar PPSMI perlu dilaksanakan dengan segera sebelum terlambat. Jika tidak, generasi muda khususnya di luar bandar bakal berdepan dengan pelbagai masalah pada masa akan datang," katanya yang juga Pengerusi Kesatuan Sekerja Dewan Bahasa & Pustaka. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan