HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Januari 2009

Kabinet MPPUM diketahui Isnin depan

Abdul Rahim Sabri


Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya akan ditentukan awal minggu depan, kata seorang perwakilan kerusi umum kumpulan pro-Mahasiswa, Mohd Ridhuan Mohammad.

Sementara watikah pelantikan semua 41 calon yang menang akan diserahkan pada 5 Februari, tiga hari selepas pertemuan pertama bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa MPP.

Anggota-anggota MPP daripada kumpulan Penggerak Mahasiswa (dulu dikenali pro-Aspirasi) dan pro-Mahasiswa sudah dihubungi semalam untuk bertemu dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Datuk Dr Azarae Idris, Isnin depan.

Dalam piliharaya kampus itu minggu lalu, Penggerak Mahasiswa memenangi 20 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus gagal mempertahankan penguasaan mereka pada sesi lalu.

Manakala pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi – menyebabkan ia tidak layak membentuk kabinet MPP dengan segera – dan calon bebas memenangi dua kerusi.

Susulan itu, pembentukan rasmi MPP terpaksa ditangguhkan hampir dua minggu.

Dua perwakilan bebas - Noor Azween Mohd Iqbal dan Lim Bee San – dari Fakulti Undang-undang menyokong kumpulan pro-Mahasiswa dalam pungutan suara dua hari selepas pilihanraya kampus, 19 Januari.

Sebanyak 9 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti dipertandingkan pada sesi ini.

Jurucakap Penggerak Mahasiswa, Wan Mohd Hasif Wan Mohd Ali pula berkata pemilihan yang dipertua MPP tidak bergantung kepada jumlah majoriti kerusi yang dimenangi.

Sebaliknya ia dipilih melalui undian daripada 41 anggota MPP yang menang baru-baru ini.

"Pada 1997, siapa yang akan menjadi yang dipertua dipilih oleh suara majoriti (undian terbanyak), tidak kira calon itu menang kerusi umum atau fakulti," katanya.

Tambahnya, Penggerak Mahasiswa juga mempunyai calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan teratas badan tertinggi pelajar itu.

"Kita ada calon YDP dan timbalannya. Oleh kerana kemenangan 21-20, keadaan menjadi sukar.

"Jadi kita ada permintaan. Kami hendak jawatan naib yang dipertua diisi oleh calon fakulti kami," katanya.

Dalam pilihanraya kampus sesi lalu yang diadakan pada 2007, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau mencadangkan, tiga jawatan naib yang dipertua MPP wajar diisi oleh pemimpin pelajar berketurunan Melayu, Cina dan India “sebagai tanda perpaduan”.

Wan Mohd Hasif menambah, pihaknya tidak membuat sebarang perundingan atau pertemuan secara rasmi ataupun tertutup dengan Pro-Mahasiswa untuk membentuk jawatankuasa MPP.

Dihubungi semalam, Mohd Ridhuan pula berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk meletakkan tokoh bagi yang dipertua MPP.

Lagipun, katanya, calon pro-Mahasiswa mendapat undi popular pelajar dan memenangi lapan daripada sembilan kerusi umum yang dipertandingkan.

Mohd Ridhuan turut mengesahkan pihaknya tidak mengadakan perbincangan dengan Penggerak Mahasiswa untuk membentuk kabinet campuran.

Tiada ulasan: