HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Januari 2009

Hanya pengecut tanding guna sistem kuota, hapus segera

MSTAR ONLINE


BALIK PULAU: Sambil menyifatkan mereka yang cuba mengelak daripada saingan sebagai "pengecut", anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman menggesa agar sistem kuota pemilihan parti itu dihapuskan secepat mungkin.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata, MT Umno seharusnya mengambil keputusan segera berhubung penggunaan sistem kuota tanpa menunggu sehingga selepas perhimpunan agung tahunan dan pemilihan pusat Mac ini.

"Hanya pengecut memilih untuk bertanding di bawah sistem kuota. Puteri Umno tidak pernah mengamalkan sistem kuota ketika era saya dan malah sekarang dan sesiapapun boleh bertanding apa juga jawatan.

"Dan, begitu juga parti-parti lain seperti DAP, PKR dan PAS. Mereka tiada sistem kuota.

"Saya sedih dengan sistem ini yang tidak menggalakkan demokrasi dalam pertandingan parti," kata beliau pada sidang media selepas melancarkan "Zoom! Homestay Pulau Pinang di Pulau Betong di sini hari ini.

Azalina berkata, sistem itu mengurangkan peluang individu berkelayakan untuk bertanding.

Beliau menegaskan, sekiranya sistem itu dibubarkan maka ia akan menjadikan pemimpin yang bertanding untuk sesuatu jawatan itu lebih bertanggungjawab.

"Sistem kouta ini hanya menjadikan pemimpin menjaga orang-orang tertentu mendapatkan kouta untuk membolehkannya bertanding," katanya.

Beliau mengulas laporan mStar Online dan The Star hari ini bahawa MT Umno telah membincangkan syor bagi membolehkan lebih tiga juta ahli parti itu secara langsung memilih barisan kepimpinan termasuk peringkat pusat kelak.

Syor yang turut disentuh ialah menghapuskan sistem kuota yang diperkenalkan hampir dua dekad lalu.

Ia merupakan antara pelbagai syor dan saranan yang disentuh oleh MT malam kelmarin, hasil sesi retreat tahun lalu - susulan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Bagaimanapun MT tidak mengambil sebarang keputusan muktamad mengenai cadangan itu, sebaliknya perkara tersebut akan diteliti secara mendalam selepas perhimpunan agung dan pemilihan Mac ini.

Syor-syor itu yang dikemukakan pada mesyuarat itu, antara lain bertujuan menangani masalah gejala politik wang yang dilihat sebagai semakin serius selain mahu memperkukuhkan parti dari pelbagai sudut bagi menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Ketika dihubungi mStar Online semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan seorang lagi anggota MT, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengesahkan perbincangan mengenainya.

Azalina juga mengakui bahawa cadangan memansuhkan sistem kuota berusia dua dekad merupakan antara beberapa perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat MT kelmarin.

"Umno kena berhenti bercakap saja, perlu jujur dan berubah untuk kekal relevan," katanya lagi.

Jelas beliau, sudah tiba masanya untuk Umno mula bekerja demi kestabilan dan kekuatan parti di masa hadapan.

Beliau berkata, perubahan yang dibuat oleh Umno mestilah disertakan dengan keikhlasan demi masa depan Umno sebagai sebuah parti yang disegani.

"Sebagai generasi muda dalam parti, saya melihat perlu adanya keikhlasan dalam perubahan yang dilakukan oleh Umno.

"Untuk berjaya Umno perlu berhenti bercakap dan mula bergerak," katanya.

Tiada ulasan: