UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan membuang bayi perempuannya yang berusia enam bulan di dalam tong sampah di sebuah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT).
Tertuduh, Nor Affendy Rahman, 33, dituduh membuang Fasya Idriena di dalam tong sampah di tepi stesen LRT Setiawangsa, Ampang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 4 pagi, 19 Januari lalu.
Dia yang masih bertugas di Markas Kejuruteraan Peluru, Padang Tembak, didakwa di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu yang menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Vasu turut memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya tertuduh tidak boleh menghampiri anak dan isterinya kerana dia dikatakan selalu menggunakan kekerasan terhadap mereka.
Bapa tertuduh yang hadir sebagai penjamin bagaimanapun memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan.
Majistret Azaraorni Abd. Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April ini untuk sebutan lantik peguam.
Isteri tertuduh turut hadir di mahkamah. Pasangan suami isteri tersebut mempunyai dua anak lain dan mangsa merupakan anak bongsu mereka.
Memetik laporan akhbar, kejadian itu berlaku ketika pasangan tersebut dikatakan bergaduh di stesen LRT Setiawangsa selepas memberhentikan kereta di situ.
Nor Affendy kemudian didakwa bertindak membuang bayinya sementara isterinya yang merupakan seorang jururawat, menjerit dan cuba mengambil bayinya semula.
Tertuduh bagaimanapun didakwa terus memecut kenderaannya selepas meninggalkan anaknya di dalam tong sampah.
Bayi tersebut dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan, Hairul Azwan Hamid, 29, yang kemudian membuat aduan kepada pihak polis setelah mendapati bayi itu sedang menangis.
Bayi tersebut kini diletak di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan