HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Januari 2009

Ketua Puteri antara dua digantung keahlian

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Ketua Puteri cawangan antara dua yang digantung keahlian Umno selepas didapati bersalah melanggar tata etika parti, antara lain terlibat dalam politik wang dan aduan palsu.

Mereka ialah Ketua Puteri Umno cawangan dalam Bahagian Batu, Nor Aisah Rajab yang didapati bersalah kerana membuat aduan palsu digantung selama enam tahun atau dua penggal pemilihan

Sementara itu seorang lagi ialah ahli jawatankuasa Pemuda Bahagian Taiping, Muzamir Ismail digantung selama setahun kerana menyebarkan maklumat berunsur fitnah yang diterbitkan melalui blog.

Dalam pada itu tiga lagi diberi amaran termasuk Setiusaha Bahagian Bukit Bintang, Mohd. Zailan Mokhtar yang terlibat dengan politik wang, Ketua Pemuda Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said kerana menghalang pihak-pihak tertentu menjalankan tanggungjawab serta memfitnah dan seorang lagi ahli biasa dalam Bahagian Langkawi, Shaidan Hashim kerana menjadi ejen dan pelobi bagi calon-calon tertentu.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail berkata hukuman tersebut berkuat kuasa mulai 23 Januari lalu.

"Ahli-ahli mesti tahu bahawa pemilihan Umno bukan hanya memberi kepentingan kepada parti malah untuk kepentingan negara.

"Oleh itu saya menyeru supaya semua ahli agar jangan buat (melanggar tata etika parti) lagi, kerana kalau ada kesalahan kita terpaksa hukum untuk beri kesedaran," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno di sini hari ini.

Tambah beliau lagi sebanyak 14 kes disiasat sepanjang bulan Disember namun sembilan daripadanya yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk politik wang, fitnah, menjadi ejen dan pelobi didapati tidak bersalah.

Mereka ialah Ketua Umno Bahagian Langkawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Datuk Ir. Nawawi Ahmad; Ketua Umno Bahagian Kluang, Md. Jais Sarday; ADUN Sungai Rapat, Hamidah Othman; Kasa Hamzah (Langkawi); Shahberi Abdul Halim (Langkawi); Noorazamuddin Ahmad (Permatang Pauh); Mohd. Rodzi Abdul Rahman (Permatang Pauh); Norman Mohamad Nor (Rasah) dan Mazlan Ahmad (Kluang).

Tiada ulasan: