HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Januari 2009

Azhan hafal al-Quran melalui Braille, pita rakaman

Azamin Amin


"Allah berikan kepada orang buta kekuatan menghafal dan mendengar cukup tajam."

Buta sebelah mata dan kabur penglihatan sebelah kiri tidak pernah menghalangnya untuk melangkah jauh mencipta nama malah terbang ke nusantara, demi menabur bakti. Perjalanan ranjau hidupnya bukan bermula di Akademi Nasyid tetapi sejak zaman persekolahan lagi. Merantau sehingga ke Indonesia mencari ilmu dan berkhidmat sepenuh hati sebagai anggota Unit Amal dan ahli parti.

Segan juga pada awalnya untuk mendekati beliau yang dikenali sebagai selebriti. Apatah lagi pernah ketika saya menjawat tugas sebagai wartawan dahulu, saya memandang beliau sebelah mata ketika 'turun' ke Johor sewaktu banjir besar melanda.

Pagi itu beliau memakai baju merah lambang Unit Amal PAS Johor, bertopi sambil teraba-raba mencari kerusi untuk diduduki di sebuah kedai makan. Sepatah pun saya tidak bersuara bertanya.

"Azhan Atan. Dia ni Ketua Pemuda PAS Tanjung Piai. Pandai mengurut refleksologi, dah hampir empat tahun," kata rakan wartawan, Salman Hussein kepada saya yang 'kering' seperti tidak mengendahkan mukadimah bicara itu.

Mungkin kepenatan memandu seharian sejak subuh bersama Ketua Pengarang Ahmad Lutfi Othman. Itu kisah dua tahun lalu tentang sikap saya yang tidak cermat. Ya...jangan pandang orang sebelah mata, pupuk naluri insaf ke nurani hati saya.

"Azamin... sudah berapa lama di Harakah ?," tiba-tiba penyanyi Juara Akademi Nasyid TV9 itu bersuara kepada saya, ketika sama-sama berada di Lapangan Terbang Manila untuk berlepas ke Mindanao, 7 Disember lalu. Peramah orangnya sehingga malu dan rasa bersalah saya.

Selama enam hari mengikuti misi kemanusiaan di Mindanao, saya dan Azhan menjadi akrab, saling bertukar pandangan dan tidak terlepas juga lawak jenaka. Anggota misi Yayasan Amal Malaysia (AMAL) tidak kering gusi dengan telatah dan karenahnya. Di sebalik wajah yang tenang, beliau seorang yang cukup kelakar.

"Kenapa datang sini, tak ada programkah?" tanya saya. Azhan menjelaskan 'perjalanan' ini merupakan satu cara beliau untuk merehatkan diri dan 'lari' daripada kesibukan menerima undangan nyayian dan aktiviti rakaman lagu di Studio. Katanya beliau dalam proses akhir rakaman untuk album sulung yang diterbitkan oleh kumpulan Hijjaz.

"Sebenarnya saya mahu berdikari dan mahu membantu orang lain walaupun ada kekurangan. Saya mahu buktikan kepada rakan-rakan Orang Kurang Upaya bahawa kita boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa. Bukan mengemis dan mengharapkan simpati," katanya kepada saya ketika kami berada di bilik penginapan di Cotabato, Mindanao. Waktu itu jam 1.00 pagi.

"Walaupun sudah mula sibuk dengan pelbagai acara dan majlis rasmi termasuk menghasilkan album, saya tetap mahu teruskan kerja amal seperti dulu," katanya yang juga ahli Persatuan Cacat Penglihatan Islam (Pertis).

Soalan 'cepu perak' saya lontarkan. Akhir-akhir ini sudah kurang publisiti di media arus perdana. Sebab anda dikenali sebagai ahli PASkah, tanya saya.

"Mereka tahu saya bergiat aktif dalam PAS dan industri hiburan tidak ada yang meminggirkan saya. Cuma saya tolak kerana tidak sesuai dan pilih mengikut kesuaian program. Saya elak yang tidak menepati syarak," sambungnya lagi sambil menjerang air masak di dalam bilik penginapan kami untuk dibuat air barli.

Rupanya satu kegemaran yang tidak boleh ditinggalkan walaupun ke luar negara, ialah meminum air barli setiap hari. Lebih menarik, beliau sanggup meminta dan membayar upah kepada pelayan kedai di Manlia dan Cagayan de Oro untuk memasak barli yang dibawanya daripada Malaysia!

Menyingkap kisah remaja, Azhan memberitahu beliau pernah tinggal di asrama dan bersekolah di Sekolah Khas Princess Elizabeth Johor Bahru. Di sana beliau belajar membaca melalui kaedah Braille termasuk menghafal al-Quran.

"Saya hafal surah-surah penting melalui Braille dan mendengar juga melalui pita rakaman. Itulah kaedah yang digunakan sampai sekarang." katanya sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada saya.

Masyallah, belilah yang baru kata saya padanya tatkala melihat telefon bimbitnya yang sudah pudar tanpa ada sebarang huruf atau nombor di papan kekuncinya!

Bagaimana nak hantar pesanan sms kepada isteri dan empat orang anaknya di Johor, kalau rindu? Naik pening saya ketika meminjam 'handphone' beliau untuk menghantar mesej kepada isteri saya. Terkebil-kebil saya mengingati letak hurufnya satu persatu.

"Itulah kelebihan yang Allah berikan kepada orang kurang upaya terutama buta. Kekuatan menghafal, mengingat dan mendengar cukup tajam," katanya sambil tersengih melihat saya.

Di Marawi City, Filipina Azhan diundang khas untuk menyanyikan lagu nasyid di majlis "Induction of SSG Officers and Senior Officers SMD Hospital" yang dihadiri lebih 200 orang kaitangan dan jururawat Hospital SMD milik seorang pemimpin Bangsamoro Dr Safarallah.

Persembahan Azhan menyampaikan tiga buah lagu nasyid dengan nada lunaknya membuatkan hadirin pegun kemudiannya memberi tepukan gemuruh sehingga dua orang kakitangan hospital mengalir air mata kerana merasa terlalu syahdu dengan nyayiannya itu

"Saya harap dapat mendidik jiwa manusia khususnya remaja melalui seni. Soal hati semuanya Allah uruskan, yang penting usaha kita. Dengan usaha kecil ini mudah-mudahan dapat membuat perubahan demi kebaikan," katanya yang berazam juga untuk kembali ke Mindanao bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan di samping tidak lupa berbakti kepada tanahair sendiri. - azm

Tiada ulasan: