HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Januari 2009

Rangka dalam tangki najis wanita Malaysia

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Petah Wazzan Iskandar


KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang wanita rakyat Malaysia di Thailand sejak hampir setahun lalu, akhirnya terbongkar selepas rangka anggota badannya ditemui dalam tangki najis rumah sewanya di Ranong, kira-kira 300 kilometer dari Phuket.

A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, dari Kampung Temong Hilir Enggor, Kuala Kangsar, dipercayai dibunuh manakala anak lelakinya, Johan Sebastiaan, 5, masih tidak dapat dikesan.

Mengikut laporan polis Ranong kepada peguam keluarga Fairos, rangka yang ditemui pada 10 Oktober lalu itu, disahkan sebagai Fairos berdasarkan ujian DNA oleh Institut Perubatan Forensik, Hospital Polis di Bangkok.

Keputusan ujian DNA yang dikeluarkan pada 26 November lalu, dimaklumkan kepada keluarga mangsa, baru-baru ini.

Polis Thailand juga mengesahkan suami mangsa, Mohd Lufti Abdullah @ Lambertus Den Dulk, seorang warga Belanda, yang disyaki suspek kes pembunuhan itu sudah meninggalkan Thailand dengan menaiki pesawat dari Bangkok ke Singapura.

Pihak berkuasa negara itu kini berusaha menjejaki suspek yang bekerja dengan sebuah syarikat perkapalan di Phuket.

Bagaimanapun, tiada rekod menunjukkan Johan dibawa keluar dari negara itu, tetapi ibu mangsa, Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63, mendakwa Mohd Lufti pernah menghubunginya dan memaklumkan Johan ada bersamanya di Belanda.

Fairos mengenali Mohd Lufti sewaktu bekerja Langkawi, sebelum mereka bernikah di Wilayah Satun, Thailand pada 22 Jun 2004 dan menetap di Ranong. Kehilangan mangsa dilaporkan oleh ibunya di Balai Polis Kuala Kangsar pada 17 Februari tahun lalu. Polis Ranong turut dimaklumkan mengenai kehilangan Fairos.

Marthiah ketika dihubungi berkata, Fairos yang mengajar bahasa Inggeris secara persendirian di Ranong, kali terakhir menghubunginya pada 8 November 2007.

"Dia menangis dan memaklumkan dipukul suami. Dia juga berkelakuan ganjil kerana memohon maaf dan meminta saya membuat laporan polis jika dia dan Johan tidak pulang ke Kuala Kangsar keesokan hari.

"Itulah perbualan terakhir kami dan selepas itu saya tidak lagi menerima panggilan daripadanya," katanya.

Marthiah berkata, seminggu selepas itu beliau menghubungi Mohd Lufti, tetapi menantunya sekadar menyebut nama 'Fairos' dan 'Malaysia' sebelum menyerahkan telefon kepada Johan yang hanya sempat menyebut perkataan 'oma'.

"Sebulan kemudian, Mohd Lufti menghubungi saya dan memaklumkan sudah membawa Johan ke Belanda. Dia memberitahu tidak boleh menunggu Fairos yang tidak kembali ke Thailand selepas pulang ke Malaysia.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila dihubungi polis Thailand pada 13 Oktober lalu yang memaklumkan mengenai penemuan rangka itu," katanya.

Marthiah berkata, beliau pergi ke Balai Polis Ranong untuk membuat padanan DNA pada 10 November lalu dengan ditemani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz serta dua peguam, Noraishah Shamsuddin dan Yasmin Mohd Ariff.

"Sebaik ditunjukkan rangka itu, naluri keibuan kuat menyatakan ia adalah Fairos. Saya juga dibawa ke rumah di mana rangka itu ditemui," katanya.

Sementara itu, Noraishah dari Noraishah Yasmin & Associates memberitahu Berita Harian,

kes itu hanya terbongkar selepas hampir setahun mangsa dibunuh kerana penutup tangki najis berkenaan disimen.

Tiada ulasan: