HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2009

Siasatan politik wang: Ahli UMNO dakwa didera pegawai SPRM

KLPOS.COM


SEORANG ahli UMNO membuat laporan polis mengatakan bahawa beliau dikasari semasa dalam tahanan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Pahang pada 23 Januari lalu.

Halimi Kamarulzamman, 46, mendakwa kejadian tersebut berlaku di dalam lokap tahanan Tingkat 10, Wisma Persekutuan di pejabat SPRM Kuantan, Pahang.

Dalam laporan polisnya, Hamidi berkata beliau telah menyerah diri pada pagi 23 Januari berhubung siasatan rasuah melibatkan pemilihan UMNO di negeri tersebut.

Menurut laporan polis yang tersebar melalui email itu, Halimi, seorang kontraktor, mendakwa beliau dipukul oleh tiga pegawai SPRM semasa proses soal-siasat.

Selain dipukul, mangsa juga mendakwa dibogelkan dan di minta berguling-guling di atas lantai.

"Bakul sampah yang kotor telah diletakkan di atas kepala saya, dan saya dipaksa untuk menyanyikan lagu Negaraku berkali-kali, lagu UMNO berkali-kali dan disuruh menyebut Rukun Negara berulang kali. Semasa saya dipaksa berbuat demikian bakul sampah di atas kepala saya diketuk berkali-kali," katanya dalam laporan polis yang dibuat pada 28 Januari.

Menurut Halimi, pada 24 Januari, sewaktu di bawa untuk tahanan reman, beliau sudah memaklumkan kepada Majistret di Ibu Pejabat Polis Kuantan dan dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam selepas dibebaskan.

Katanya lagi, beliau dipaksa untuk mengaku bahawa seorang pemimpin UMNO, Datuk Norza Zakaria terlibat dengan politik wang.

Jelasnya lagi, biarpun didera dan disiksa, beliau tetap memberitahu perkara yang sebenar dan menafikan pembabitan Datuk Norza Zakaria dengan politik wang.

"Sepanjang masa saya dipukul dan didera, mereka telah memadamkan kamera CCTV yang berada di dalam bilik tahanan itu dengan menggunakan plaster," kata beliau.

Di akhir laporan polisnya, Halimi mendakwa, jenayah yang dilakukan oleh pegawai SPRM tersebut kepada beliau adalah mirip peristiwa yang sering berlaku di Abu Gharib (penjara di Iraq).

"Saya amat terkejut dan takut bahawa perkara ini juga berlaku di bawah SPRM yang baru ditubuhkan ini," katanya.

Parlimen akhir Disember lalu memberikan kuasa yang lebih besar kepada SPRM untuk membenteras rasuah di negara ini. Dulunya SPRM di kenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tiada ulasan: