A Kadir Jasin
PEMBAHAS Sinbad kata dia tengok saya dalam Astro bercakap fasal sukan. Itu rancangan lama. Saya dan tiga ahli penal lain berbincang tajuk “Jaguh Kampung, Jaguh Dunia.”
Saudara Sinbad minta saya ulas fasal sukan. Saya tak pandai sukan. Dan saya pun bukan jenis yang kuat bersukan. Not the athletic type, kata orang putih.
Masa kanak-kanak ada kawan-kawan yang kata saya “ponen”. Tapi saya main juga bola sepak, sole, randas (rounders) dan sepak raga dengan budak-budak pondok berdekatan rumah saya.
Daripada dulu hingga sekarang saya suka berkebun. Itulah bentuk senaman yang saya buat hampir setiap hari. Saya berkebun bunga dan sayur-sayuran. Kalau memelihara ikan dan memancing boleh dianggap bersenam, saya bersenamlah seadanya.
Masa kanak-kanak dan waktu sekolah menanglah kita minat bola. Kita semua nak jadi (Datuk) Abdul Ghani Minhat, Raja Bola yang mengharumkan nama Malaysia dalam arena bola sepak Asia pada tahun 1950-an hingga penghujung 1960-an.
Waktu itu pasukan bola Malaysia hebat. Selalu di tempat teratas dalam carta bola sepak Asia. Selalu johan Merdeka Cup.
Setiap kampung ada pasukan bola. Padang bola dengan padang ragut sama. Tiang gol kita buat daripada buluh. Pada musim kemarau kita main bola dalam bendang yang kering kontang. Kita tak pakai kasut dan selalu “aim” betis kering lawan.
Budak-budak kampung waktu itu kurus dan renjong sebab makan ala kadar dan sering diserang bermacam-macam penyakit macam demam kura (malaria), lelah dan jangkitan pelbagai jenis cacing sehingga boroi perut. Kudis buta, kurap, panau, hingus dan telinga bernanah perkara biasa.
Tetapi yang selamat dan tak mati selalunya menjadi kuat, tahan lasak dan gigih – kuat bersawah, kuat menternak kerbau lembu dan kuat bersukan. Ada juga yang berjaya menjadi orang profesional.
Malangnya selepas menikmati kesenangan hasil kemajuan ekonomi, ramai kawan-kawan saya yang satu sekolah dengan saya di Sekolah Melayu Pendang, di Saint Michael School dan Maktab Sultan Abdul Hamid di Alor Star kena kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ramai sudah meninggal dunia atau kena potong sana sini.
Waktu itu kita main bola kerana minat dan kerana hendak naikkan nama kampung. Setiap kampung ada youth club, ada pasukan bola dan ada gelanggang silat.
Di Kedah, jaguh dan juara bola selalunya pasukan estet macam Harvard Estate dan Sungai Tok Pawang Estate.
Sekarang kampung tak ada padang bola lagi. Kalau ada pun ditumbuhi rumput dan lalang. Padang ragut sudah dipugar menjadi sawah atau kampung. Ada tidak pun padang sekolah dan padang di kompleks sukan daerah.
Banyak punca dan situasi yang menyebabkan mutu dan pencapaian sukan negara semakin hari semakin meragukan.
Mungkin kita boleh mempertimbangkan fakta dan faktor berikut:-
1. Sistem pendidikan yang terlampau mengutamakan peperiksaan dan pencapaian akademik;
2. Kedudukan dan keutamaan sukan yang sekadar melepas batuk di tangga dalam sistem kokurikulum;
3. Sistem persekolahan yang tidak memberi pengiktirafan yang secukupnya kepada kebolehan dan bakat istimewa (special skills and talents) murid;
4. Kegiatan sukan terlalu kerap dilanda kemelut politik, sama ada politik persatuan atau campur tangan parti-parti politik;
5. Sukan terlalu bergantung kepada naungan dan bantuan kewangan daripada kerajaan;
6. Ini memberikan alasan kepada kerajaan dan parti-parti politik masuk campur dalam pentadbiran dan urusan badan-badan dan pasukan-pasukan sukan;
7. Boleh dikatakan hampir semua badan sukan utama dipimpin atau dinaungi oleh orang politik atau isteri, anak dan menantu mereka;
8. Kerana pendedahan yang kurang profesional dan mirip kepada sensasi oleh media massa, khas televisyen, ahli sukan kita mudah dirosakkan oleh kemasyhuran, glamour, sanjungan dan kekayaan;
9. Peranan media massa, khasnya TV, adalah penting untuk memberikan galakan kepada ahli sukan dan untuk menjana penajaan dan pengiklanan;
10. Tetapi liputan yang terlalu mengutamakan aspek-aspek sensasi seperti kisah peribadi, gaya hidup dan pendapatan ahli sukan kerap menimbulkan kesan negatif;
11. Sistem pendidikan dan latihan sukan tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada aspek-aspek saintifik seperti psikologi, perubatan dan pemakanan menyebabkan ahli sukan kita kurang kekuatan fizikal dan ketahanan mental; dan
12. Pasaran sukan kita tidak cukup besar dan kuat di segi kewangan untuk menampung sukan profesional kecuali bagi sukan massa seperti bola sepak.
Sukar membuat ramalan mengenai hala tuju dan prestasi sukan negara buat beberapa waktu akan datang.
Apa yang terpaksa diterima adalah hakikat bahawa Malaysia adalah antara negara paling terkebelakang dalam carta sukan antarabangsa berbanding bilangan penduduk dan taraf ekonomi.
Pada sukan Olimpik Beijing tahun lalu, Malaysia dengan penduduk seramai 24 juta hanya memperoleh satu pingat perak dan menduduki tempat ke-74.
Bandingkan dengan Jamaica dengan penduduk 2.8 juta dan lebih miskin daripada negara kita menduduki tempat ke-13 dengan enam emas, tiga perak dan dua gangsa.
Ini sekali gus menjadikannya negara membangun paling berjaya di Sukan Olimpik.
Kita boleh belajar sesuatu daripada Jamaica yang pada Olimpik lalu mempersembahkan kepada dunia pelari sensasi, Hussain (Ussain) Bolt dan sebelum itu Merlene Joyce Ottey.
Dan siapa tidak kenal “No Woman, No Cry” Bob Marley?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan