HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Januari 2009

Gubal undang-undang antilompat parti

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak hari ini mencadangkan supaya peruntukan Perlembagaan dipinda bagi membolehkan undang-undang antilompat parti segera digubal.

Mereka berpendapat, perkembangan terbaru kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut keperluan undang-undang sedemikian diperkenalkan.

Langkah itu juga, kata mereka, dapat membendung usaha pujuk-memujuk antara para pemimpin parti-parti politik di negara ini untuk keluar parti sekali gus menggalakkan budaya tidak beretika itu berleluasa.

Di Kota Kinabalu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, sudah tiba masanya usul meminda Perlembagaan bagi membolehkan penggubalan undang-undang antilompat parti segera dibentangkan di Parlimen.

Katanya, usul itu mesti ditimbang secara serius dan diluluskan untuk mewujudkan kestabilan politik jangka masa panjang.

“Sudah tiba masanya kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau pun negeri segera meminda Perlembagaan bagi mewujudkan undang-undang antilompat parti untuk kesejahteraan rakyat.

“Ia bagi memastikan kestabilan politik kita tidak terjejas, ini kerana sudah terbukti sebelum ini, perbuatan tersebut jelas merosakkan kestabilan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang menyekat wakil rakyat melompat parti.

Cadangan itu berikutan tindakan Nasaruddin meninggalkan BN dan UMNO untuk menyertai PKR, Ahad lalu.

Sebelum ini, Pairin ketika menjadi Ketua Menteri di bawah kerajaan PBS, pernah mencadangkan supaya diwujudkan undang-undang tersebut bagi menghalang mana-mana pihak melompat parti.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, dengan pindaan undang-undang itu, harapan rakyat yang memilih wakil rakyat juga tidak akan dikhianati.

Pairin khuatir, sekiranya undang- undang tersebut masih tidak dipinda, perbuatan berkenaan semakin menular dan wakil rakyat tidak takut untuk berbuat demikian.

“Ini bukan sahaja melibatkan kestabilan politik tetapi juga mencakupi kepentingan sosial,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V. K. Liew berkata, sebarang percubaan untuk meminda Perlembagaan sukar dilaksanakan memandangkan majoriti gabungan parti pemerintah, BN di Parlimen kurang dari dua pertiga.

Katanya, mengikut perlembagaan yang ada, sebarang cadangan untuk menghalang seseorang daripada menyertai mana-mana pertubuhan seperti parti politik adalah bertentangan dengan kebebasan berpersatuan.

“Oleh itu, adalah sia-sia untuk bercakap mengenainya melainkan kita melepasi halangan Perlembagaan terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Liew berkata, di Sabah, kerajaan PBS yang lepas pernah menguatkuasakan undang-undang seumpama itu pada tahun 1980-an tetapi kemudiannya diisytihar ultra vires Perlembagaan Persekutuan kerana menyekat kebebasan berpersatuan.

Di Kuala Terengganu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata, undang-undang antilompat parti perlu dilakukan termasuk dengan membenarkan wakil rakyat yang mengosongkan kerusi mereka bertanding semula dalam tempoh terdekat dan bukannya lima tahun seperti peruntukan sedia ada.

Tiada ulasan: