Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB
PETALING JAYA: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengancam untuk mengadakan demonstrasi membantah penganjuran konsert Rihanna Live In Kuala Lumpur, 13 Februari ini, walaupun ia telah mendapat kelulusan kerajaan semalam.
Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan demonstrasi bagi memberi tekanan kepada kerajaan untuk menunjukkan yang mereka amat serius dalam membantah konsert yang disifatkan tidak sesuai di negara ini.
"Kita sedang mempertimbangkan langkah untuk menekan dengan lebih keras lagi penganjuran konsert tersebut.
"Mungkin dalam bentuk demonstrasi atau paling minimum pun, kita akan mengedarkan risalah.
"Kita pasti akan lakukannya dan ia akan diputuskan dalam jangka masa terdekat," kata beliau ketika dihubungi mStar Online hari ini.
Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sebelum ini membantah penganjuran konsert Rihanna Live in Kuala Lumpur anjuran Celcom (M) Berhad 13 Februari ini di Stadium Putra Bukit Jalil atas alasan ia tidak sesuai dengan budaya tempatan dan sentimen menghormati rakyat Palestin.
Bagaimanapun semalam, kerajaan telah memutuskan untuk meluluskan penganjuran konsert tersebut seperti yang dirancang.
Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, beliau berasa kecewa dengan keputusan kerajaan itu walaupun pihaknya telah menyerahkan memorandum yang menyatakan alasan yang munasabah berhubung bantahan mereka terhadap penganjuran konsert itu.
"Kita amat kecewa dengan penolakan memorandum itu.
"Kita telah menerangkan (dalam memorandum) siapa Rihanna sebenarnya dan turut mengepilkan gambarnya tetapi nampaknya kementerian (Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) tidak ambil berat dengan masalah sosial yang berlaku dalam negara dengan membenarkan imej negatif seperti itu dibawa masuk.
"Imej Rihanna termasuk dari segi pakaiannya yang menjolok mata tidak sesuai dengan budaya negara ini.
"Persembahannya juga boleh dikatakan menghampiri lucah," katanya.
Kamaruzaman berkata, walaupun penganjur telah memberi jaminan bahawa Rihanna akan mengikut tata etika berpakaian yang ditetapkan, tetapi imej penyanyi itu tidak baik kepada remaja di negara ini.
"Kita sudah tekankan sebelum ini yang kita menentang imej penyanyi itu. Kalau dia datang bertudung sekalipun, imej peribadi yang sebenarnya tidak begitu.
"Walaupun dia membuat persembahan dengan berpakaian baik tetapi persembahannya di tempat lain tidak sedemikian," katanya.
Kamaruzaman berkata, Pemuda PAS tidak membantah acara hiburan secara total asalkan ia mempunyai tatacara yang sesuai.
"Sebab itu, kita telah sarankan dalam memorandum itu supaya ada tata cara bagi imej persembahan dan lirik lagu yang ingin disampaikan supaya ia bersesuaian dengan masyarakat negara ini.
"Mungkin ada imej artis yang baik dan sesuai dijadikan bahan hiburan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menyerahkan memorandum kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mengadakan satu garis panduan berhubung penganjuran konsert di negara ini.
"Kita katakan bahawa JAKIM perlu memainkan peranan mereka dengan aktif di bawah kementerian dalam menentukan artis yang membuat persembahan. Cadangan yang pernah ditolak kabinet beberapa tahun lalu yang antaranya menekankan garis panduan berpakaian dan lagu-lagu yang dipersembahkan sudah cukup baik dan ia perlu dikaji semula," katanya.
Kamaruzaman berkata, pihaknya akan tetap meneruskan bantahan jika didapati konsert-konsert yang bakal dianjurkan selepas ini tidak sesuai dengan budaya dan boleh menyumbang kepada gejala sosial remaja di negara ini.
Beliau percaya tindakan Pemuda PAs ini mendapat sokongan daripada kaum bukan Melayu di negara ini memandangkan remaja mereka juga terlibat dalam masalah sosial termasuk pengambilan dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan