Wan Nordin Wan Yaacob
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan hari ini mengeluarkan kenyataan berhubung isu ada wakil rakyat Umno/BN negeri tersebut ditawar menyertai Pakatan Rakyat sebelum ini.
Dalam laporan akhbar Sinar Harian, Mohamad dipetik sebagai berkata beliau yakin situasi lompat parti tidak akan berlaku di kalangan wakil rakyat BN Negeri Sembilan.
"Memang sebelum ini wakil rakyat BN di negeri ini pernah dipujuk Pakatan Rakyat untuk meninggalkan parti, tetapi usaha itu gagal," katanya.
Namun Mohamad juga mengakui tidak mustahil Adun BN akan melompat parti menyertai pembangkang.
Kemelut dalaman Umno selaku tonggak utama BN di Negeri Sembilan sebenarnya sudah lama berlaku sejak Mohamad dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan pada tahun 2004.
Ramai dikalangan pemimpin pro bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad membantah pelantikan itu, namun ketika itu arus sokongan ke atas Mohamad amat tinggi.
Mohamad dikatakan tokoh korporat yang bakal membawa Negeri Sembilan ke era baru dari sudut pembangunan dan kemajuan termasuk dalam sektor industri.
Begitupun, beberapa tahun selepas menerajui Negeri Sembilan, kelemahan Mohamad mula terserlah, malah kelemahan itu dihentam oleh bekas Adun Lenggeng, Dato' Ishak Ismail dalam satu sidang Dun pada tahun 2007.
Isu yang dibawa bekas Adun Lenggeng ialah kehadiran abang kepada MB, Dato' Azman Hassan dalam mempengaruhi pentadbiran kerajaan negeri.
Akhirnya, dalam pilihan raya umum 2008, nama Ishak terkeluar dari senarai calon BN yang sekali lagi menyaksikan BN hanya menang tipis di Lenggeng.
Kemelut Umno/BN tidak terhenti setakat 8 Mac 2008, beberapa bulan selepas itu (ketika Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membayangkan akan berlakunya perubahan kerajaan pusat), beberapa Adun Umno di Negeri Sembilan dikatakan akan menyertai Pakatan Rakyat.
Harakah pernah menyiarkan pendedahan mengenai isu tiga Adun Umno Negeri Sembilan bakal menyertai Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.
Malangnya atas sebab tertentu tiga Adun tersebut tidak dapat menyertai Pakatan Rakyat, dan kini isu tersebut mula dibicarakan semula.
Terkini Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Omar membayangkan akan adanya pilihan raya kecil di salah sebuah Dun di negeri ini.
Atas sebab apa pilihan raya kecil itu akan diadakan masih belum didedahkan, namun sumber Harakah memberitahu bahawa kini tersebar luas khabar mengenai ada Adun BN yang akan mengumumkan peletakan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
Mungkin atas sebab itu, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri hari ini membuat kenyataan bahawa Pakatan Rakyat gagal pujuk adunya lompat parti.
Atau Mohamad sebenarnya bimbang tsunami politik yang melanda Perak yang menyebabkan Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim menyertai Pakatan Rakyat akan berlaku di Negeri Sembilan.
Tunggu isyarat seterusnya.../wann_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan