HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Januari 2009

Perlu dedah perkara sebenar di sebalik kematian K Kugan - Nik Aziz

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Pihak berkuasa tidak perlu menyembunyikan perkara sebenar di sebaliknya kematian seorang pemuda India, A Kugan, kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, tindakan kerajaan menghalang dan mengenakan tindakan terhadap mereka yang menyertai perarakan mayat A. Kugan membuktikan kerajaan tidak telus.

"Saya sedih dengan kematian K. Kugan baru-baru ini, walaupun dia tidak sebangsa dan tidak seagama dengan kita, namun dalam Islam nilai kemanusiaan lebih diutamakan berbanding bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Di Kuala Lumpur petang tadi polis dilaporkan menahan empat lelaki di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menjelang perarakan mayat A Kugan yang didakwa mati dibunuh dalam lokap polis minggu lalu.

Mereka ditahan dekat pintu masuk utama hospital itu dan kemudian dibawa ke Balai Polis Brickfields.

Ratusan orang berkumpul di kawasan PPUM bagi menyertai perarakan mayat A Kugan ke tanah perkuburan di Batu 14 Jalan Puchong.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS memberitahu akan menghantar seorang wakil untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga mendiang K. Kugan.

Menurutnya, apa yang beliau diberitahu K Kugan bukan dari kalangan keluarga yang berada.

"Jadi dalam keadaan yang sebegini amat sesuai kita menghulurkan sumbangan tanda kita juga turut bersimpati terhadap apa yang berlaku.

"Saya nak pergi sendiri kebetulan keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan sekarang, jadi saya akan menghulurkan sumbangan berkenaan kepada wakil saya," ujarnya.

Sekali lagi beliau menegaskan PAS tidak bersetuju cara kerajaan merahsiakan perkara sebenar di sebalik kejadian berkenaan.

Menurut beliau sekiranya manusia berjaya menutup kemungkaran di dunia, namun di akhirat pendedahan pengkhianatan tetap akan berlaku.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, ramai mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, begitu juga apa yang berlaku terhadap K. Kugan perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya.

"Sebab ini semua soal kemanusiaan bukan lagi soal agama, apa lagi perkauman.

"Al-Quran telah menyebut mana-mana manusia membunuh orang lain, seolah-olah dia membunuh seluruh umat manusia, begitu juga sekiranya manusia itu menyelamatkan seorang, bererti menyelamatkan seluruh manusia," katanya. - mj _

Tiada ulasan: