HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Januari 2009

Lam Thye: Tubuhkan institut hubungan kaum

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menubuhkan Institut Hubungan Kaum untuk membantu menggalakkan hubungan antara kaum yang harmoni dan menyumbang ke arah integrasi kaum dan perpaduan negara.

Tan Sri Lee Lam Thye, anggota Panel Penasihat Perpaduan Negara berkata, masanya adalah sesuai bagi penubuhan institut itu untuk menjalankan kajian, penyelidikan dan memberikan cadangan spesifik untuk memperbaiki dan memperkukuhkan hubungan bagi tujuan mencapai perpaduan.

"Oleh kerana kerajaan telah memutuskan menolak cadangan memperkenalkan Akta Hubungan Kaum, yang merupakan satu langkah yang betul, adalah sesuai untuk menubuhkan Institut Hubungan Kaum yang dibiayai kerajaan, " kata Lee dalam kenyataan hari ini.

Katanya jika hubungan antara kaum di Malaysia pada masa ini tidak berada pada tahap yang sihat atau sebaik seperti dikehendaki, dengan itu apa yang perlu dilakukan ialah menjalankan kajian mendalam untuk mengetahui masalahnya.

"Kita perlu bermuhasabah diri dan mencari punca kepada hubungan kaum yang bermasalah ini," katanya.

"Kenapa selepas 51 tahun merdeka, hubungan kaum di negara ini semakin merosot sedangkan ia sepatutnya semakin baik,?" tanya Lee.

Lee juga berkata, perlu ingat yang semangat muhibah, keharmonian dan perpaduan tidak boleh dicapai melalui undang-undang.

Pengurusan hubungan antara kaum perlu bermula dengan sikap individu itu sendiri kerana tanpa ada rasa muhibah, harmoni dan perpaduan dalam fikiran, emosi dan tindakan mereka, ia akan dicerminkan melalui bagaimana seseorang itu memberikan layanan kepada orang lain, kata Lee.

Tiada ulasan: