Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU - Semangat 16 September yang cuba dinafikan pemimpin Umno sebelum ini, sekarang diterjemahkan Adun Bota, Dato' Nasaruddin Hashim.
Apa yang diuar-uarkan Pakatan Rakyat tahun lepas bukan sekadar omongan kosong.
Biar pun bukan anggota parlimen Barisan Nasional (BN) yang berhijrah ke Pakatan Rakyat, namun usaha yang dirintis Nasaruddin mampu menjelaskan keadaan sebenar.
Apa yang pasti selepas Adun Bota, ada lagi wakil rakyat BN yang dikatakan bakal mengikut jejaknya.
Mengulas situasi itu bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Ahmad Rusli Ibrahim berkata, kebenaran apa yang digambarkan Pakatan Rakyat sebelum ini sudah terserlah sekarang.
"Penghijrahan pemimpin Umno kepada PAS dan KeADILan baru-baru ini mencerminkan mereka keluar dari kepalsuan kepada kebenaran," katanya yang juga anggota Dewan Negara ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini Nasaruddin mengisytiharkan keluar dari Umno dan menyertai KeADILan sehingga memberi tamparan hebat kepada Umno yang sedang bergelut dengan masalah dalaman sekarang.
Rusli berkata, Umno dan BN kini berada dalam keadaan celaru selepas menerima tamparan hebat di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.
"Saya yakin Dato' Nasaruddin membuat keputusan yang bijak untuk membawa rakyat yang diwakilinya ke jalan betul dan membela nasib rakyat di bawah kerajaan negeri yang ada sekarang," ujar beliau.
Menurutnya pemimpin Umno sering kali membohongi rakyat dan menafikan hak mereka sehingga ramai bangkit menolak Umno pada pilihan raya umum lalu.
Oleh itu beliau yakin Nasaruddin ikhlas membuat keputusan meninggalkan Umno demi memakmurkan negeri Perak di bawah Pakatan Rakyat.
"Saya merakamkan tahniah kepada beliau dan berharap pemimpin Umno menerima keputusan dibuat Nasaruddin dengan dada terbuka kerana ia merupakan pilihan terbaik bagi menyertai gelombang rakyat," ujarnya.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang mengatakan Pakatan Rakyat mengambil kesempatan terhadap masalah dalaman Umno sekarang katanya, tanggapan itu seperti kebudak-budakan.
"Pemimpin politik mesti berpegang kepada prinsip dan berfikiran matang dalam membuat satu-satu tindakan yang melibatkan kepentingan rakyat.
"Dan kalau betul Umno masih utuh sudah tentu ahli mereka tidak akan meninggalkan parti itu setelah lama berjuang. Umno sekarang bagaikan sebuah kapal yang berada di lautan bergelora menunggu masa akan tenggelam," ujar.
Katanya juga Pakatan Rakyat sekarang menjadi penyelamat kepada politik negara setelah Umno dan BN tidak mampu lagi membawa kemakmuran kepada rakyat. - mj _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan