BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pembubaran Putera Umno akan hanya merugikan parti kerana ia akan kehilangan saluran yang penting untuk mendekati generasi muda.
Malahan, katanya matlamat utama penubuhan Putera Umno pada 2005 bukanlah supaya golongan remaja berpolitik tetapi untuk membina generasi muda yang peka kepada sejarah dan jati diri perjuangan parti.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini beliau berkata Putera Umno tidak terlibat dalam sebarang bentuk gejala politik wang kerana penubuhannya sebagai satu unit dalam Pergerakan Pemuda Umno tiada kaitan dengan pemilihan dalam parti.
"Tidak ada politik wang dalam Putera Umno sebab tidak ada pemilihan," katanya sebagai mengulas cadangan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya Umno disusun semula dengan membubarkan semua sayap parti termasuk Putera Umno bagi membanteras gejala politik wang.
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata masanya belum sesuai bagi anggota Putera Umno yang dalam lingkungan umur 18 hingga 25 tahun itu untuk berpolitik dan sebaliknya mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.
Azeez berkata pendekatan Putera Umno ialah menerusi program kebajikan seperti gotong-royong, membantu mangsa bencana alam seperti banjir selain menganjurkan ekspedisi bagi mengharumkan nama negara seperti ekspedisi Payung Terjun di Kutub Utara April tahun lalu.
Sungguhpun terkejut dengan cadangan itu, namun Azeez berkata beliau akan akur dengan sebarang keputusan yang akan diambil oleh pucuk pimpinan parti berhubung masa depan Putera Umno yang kini mempunyai 18,000 anggota.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata struktur Umno yang ada sekarang masih relevan untuk mendedahkan generasi muda dalam konteks kepimpinan negara.
"Kita harus galakan mereka (generasi muda) kerana kita tahu di mana-mana tempat pun ada proses peremajaan struktur kepimpinan parti jadi kita tak boleh abaikan (struktur itu) kelak kita akan ketandusan kepimpinan golongan muda," katanya.
Di KUALA LANGAT, seorang lagi anggota MT Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata cadangan pembubaran sayap Umno bukanlah satu jalan penyelesaian yang wajar bagi membenteras politik wang dalam parti itu.
"Nak menyelesaikan sesuatu takkanlah dengan cara kita menutup atau membubarkan sayap-sayap dalam Umno, dia tidak menyelesaikan. Kalau ada masalah, kita selesaikan masalah pergerakan itu," katanya.
Di KOTA KINABALU, Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan cadangan supaya semua sayap parti Umno dibubarkan sebagai sesuatu yang amat mengecewakan dan turut mengguris hati pejuang Puteri Umno yang selama ini bersunguh-sungguh untuk memperkasakan Umno.
"Cadangan itu sangat memeranjatkan dan mengecewakan saya dan Puteri, saya juga tidak nampak rasionalnya. Saya fikir kenyataan (cadangan) seumpama itu tidak seharusnya dikeluarkan kerana berdasarkan pilihan raya lepas, kita lihat orang muda tidak ramai berpihak kepada Umno," katanya.
Rosnah berkata sejarah telah membuktikan bahawa penubuhan sayap Umno seperti Puteri mampu menarik sokongan golongan muda terhadap Umno, dan dengan membubarkan Puteri Umno, ia seolah-olah menjauhkan golongan muda daripada parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan