Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
WALAUPUN kemarau yang melanda rumah tangga aktres Wan Nor Azlin, 41, dan suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 39, saban hari belum menemui penghujungnya, beliau tetap nekad untuk membawa pulang Yazli dalam masa terdekat ini sehingga sanggup menerima segala syarat yang dikenakan oleh suaminya sebelum ini.
Menurut Azlin, beliau menantikan saat suaminya akan menunaikan janji untuk pulang ke rumah dengan berlandaskan tiga syarat terhadapnya yang turut dihebahkan menerusi sebuah akhbar tabloid baru-baru ini.
"Sehingga sekarang Yazli belum pulang tetapi di dalam akhbar tabloid itu dia kata nak balik bersama tiga syarat.
"Antara syaratnya adalah saya perlu menyambutnya dengan senyuman manis dan menyediakan minuman milo kepadanya," kata Azlin ketika ditemui semasa sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap Yazli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.
Ditanya apakah reaksi Azlin apabila mendengar syarat tersebut, beliau berkata ringkas: "Saya akan terima."
Dalam masa yang sama, Azlin berasa kecewa kerana Yazli masih belum memunculkan diri di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak yang perlu dilunaskan oleh suaminya sejak menghilangkan diri sejak 10 Julai lalu.
Yang membuatkan Azlin tertanya-tanya, mengapa suaminya itu sanggup datang ke pejabat akhbar tabloid itu sedangkan tidak boleh menjejakkan kaki ke mahkamah inikah lagi pulang ke rumah.
"Kes ini ‘pending’ terlalu lama seolah-olah suami saya hendak mengambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan. Dia sepatutnya tahu tentang undang-undang (seorang peguam) dan apa yang patut dilakukan.
"Keluarganya juga masih mendiamkan diri. Sepatutnya mereka memberikan kata-kata nasihat kepada Yazli sebab sekarang ini anak-anak yang menjadi mangsa. Saya kecewa dengan sikapnya.
"Saya rasa dia memang tinggal dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana Datuk Ma’amor pernah memberitahu yang suami saya berada bersama mereka tetapi kenapa mereka tidak mahu memberitahu dan memujuk suami saya untuk hadir ke mahkamah.
"Kalau suami saya tiada duit, dia boleh balik ke rumah. Jika dia tak mampu, saya tak kisah kalau dia balik juga dan biar saya bekerja. Tetapi dia kena uruskan rumah tangga pula seperti mengemas rumah, memasak dan menjaga anak-anak seperti sembilan tahun saya lakukan dulu.
"Yazli perlu beranikan diri muncul...," luah Azlin dengan separuh mengharap.
Azlin pilih waran tangkap atas suami, mahkamah tidak benarkan
Dalam pada itu, mengenai perbicaraan kes semalam, Azlin memilih supaya waran tangkap terhadap suaminya dikeluarkan oleh mahkamah.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk tidak membenarkan Azlin berbuat demikian disebabkan kegagalan mengecam alamat suaminya, Yazli berada sekarang.
Ketika sebutan kedua kes tersebut berjalan hari ini, Ghazali turut bersoal jawab dengan Azlin sehingga akhirnya mereka menemui kata sepakat untuk meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah Azlin dan anak-anak terhadap suaminya pada 8 April depan, pukul 2 petang.
Azlin akur dengan keputusan tersebut walaupun pada mulanya beliau nekad mahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Azlin: Saya yakin dia (Yazli) bersama PPIM. Jadi, mahkamah boleh sampaikan waran itu melalui Dr. Zaidi.
Hakim: Nak alamatkan ke mana? Waran tangkap perlu kepada dia sebab nak tangkap dia.
Azlin: Tetapi dia tak nak hadir.
Hakim: Lagi cepat jika bicara melalui sebelah pihak tetapi peluang tetap diberikan kepada dia. Bila-bila masa dia boleh hadir. Terpulang kepada dia nak hadir atau tidak, mahkamah akan putuskan sebelah pihak.
Dalam pada itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Azlin, iklan yang memerintahkan Yazli menghadiri perbicaraan tersebut semalam telah dikeluarkan pada 21 Januari lalu di mana iklan ditampal di papan notis dalam mahkamah dan dipaparkan di dalam ruangan iklan akhbar Utusan Malaysia.
Namun, Yazli masih gagal menampakkan diri untuk muncul di dalam perbicaraan tersebut.
Azlin dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemubual oleh pihak media di luar mahkamah selepas selesai sebutan kes tersebut.
"Kita perlu sentiasa mengikuti kes ini dan menunggu tindakan selanjutnya. Di akhir kes ini nanti, mahkamah akan mencapai kata putus di mana jika Yazli masih enggan menghadirkan diri, dia akan dimasukkan ke dalam penjara dan dia juga perlu melunaskan nafkah mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah," jelas Fakhrul dengan panjang lebar mengenai perbicaraan kes tersebut.
Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya beliau ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.
Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.
Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.
Difahamkan, Azlin menuntut lebih daripada puluhan ribu kepada Yazli. Namun, Azlin bagaimanapun bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.
Sehingga kini Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu.
Pertama kali Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.
Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.
Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.
Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan