HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Februari 2009

Undang-undang anti lompat terlalu berrisiko dilaksana

MSTAR ONLINE


ADUN Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim dari Umno dikenakan jaket oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) pada Ahad lalu bagi menandakan kemasukan beliau ke dalam Parti Keadilan Rakyat. Tindakan Nasarudin itu menimbulkan semula persoalan sama ada undang-undang mengawal tindakan melompat perlu ataupun sebaliknya.

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup hari ini berkata, cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan undang-undang antilompat parti adalah tidak sesuai buat masa ini.

"Sememangnya saya setuju untuk dikaji dan dimuatkan dalam perlembagaan.

"Tetapi pada pendapat saya, untuk mengubah perlembagaan kita sekarang ini nampaknya tidak sesuai.

"Kerana kita tidak mahu mengambil risiko oleh kerana Barisan Nasional (BN) sekarang tidak mempunyai dua pertiga majoriti (di Dewan Rakyat) untuk memberi sokongan supaya perlembagaan itu dapat diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PBRS di sini.

Beliau menambah, sememang ada pihak pembangkang yang juga meminta supaya undang-undang ini diwujudkan, tetapi tidak ada cara memastikan sama ada mereka akan betulbetul menyokong perkara tersebut.

Sebaliknya, Kurup mencadangkan apa yang boleh diamalkan sekarang adalah kedua-dua pihak pembangkang dan kerajaan supaya tidak menerima mana-mana ahli yang ingin melompat ke pihak masing-masing.

Diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota, Datuk Nasarudin Hashim, keluar Barisan Nasional dan menyertai Parti Keadilan Rakyat, Kurup berkata: "Ini saya tak ada komen, mungkin oleh kerana ini telah berlaku dahulu (di Sabah dan Sarawak), ia seolah-olah menjadi satu 'budaya', sapa yang tidak puas hati, dia lompat".

Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi DAP, Karpal Singh menyuarakan sokongan terhadap cadangan memperkenalkan undang-undang bagi menghalang seseorang wakil rakyat melompat parti.

Sebelum itu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan yang juga timbalan ketua menteri, berkata sudah sampai masanya undang-undang seumpama ini diperkenalkan dan beliau akan menyokong mana-mana pihak yang mengemukakan pindaan tersebut.

Isu tersebut bangkit apabila Menteri Luar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menggesa BN Perak supaya mengadakan gerakan besarbesaran bagi mendesak Nasarudin supaya meletak jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu yang dimenanginya atas tiket BN.

Tiada ulasan: