Oleh HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB) meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan arahan pembayaran yuran bagi memudahkan pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti.
Presiden KGGMMB, Mohd. Sabri Mohd. Arsad berkata, kelewatan mengutip yuran daripada pelajar membantutkan pelaksanaan banyak aktiviti khususnya pada awal sesi persekolahan.
Beliau berkata, sekolah memerlukan yuran ini untuk menampung segala perbelanjaan bagi menjalankan pelbagai kegiatan kokurikulum dan pengurusan lain.
"Yuran itu juga membabitkan pembelian kertas pendua atau fotostat untuk kegunaan guru menyediakan lembaran kerja bagi melancarkan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, pembekal peralatan berkenaan tidak mampu membekalkan pesanan peralatan tersebut berikutan kelewatan bayaran daripada pihak sekolah.
"Kelewatan pembayaran menyebabkan kesukaran pembekal menerima permintaan selain sikap pemborong yang menaikkan harga barangan berkenaan," katanya.
Mohd. Sabri menjelaskan, aktiviti PIBG juga terbantut berikutan ketiadaan dana untuk mengadakan kelas tambahan, sukan tahunan dan kegiatan lain untuk membantu pelajar dan pihak sekolah.
"Bagaimana hendak melaksanakan aktiviti sedangkan kutipan yuran sekolah akan dibuat selepas Mac dan yuran PIBG pada Julai ini," katanya.
Beliau menambah, dengan mempercepatkan arahan kutipan yuran, ia dapat menyegerakan aktiviti kokurikulum dan kelas tambahan yang dirancang berasaskan takwim persekolahan pada awal tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan