BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 2.7 juta wanita atau 77 peratus pekerja wanita di Malaysia menceburi bidang pekerjaan yang mempunyai nilai dan upah yang rendah, demikian kesimpulan satu seminar di sini, hari ini.
Keadaan itu wujud disebabkan dasar pemisahan gender dalam pasaran tenaga kerja tempatan serta bilangan besar populasi wanita itu sendiri mengakui perbezaan upah antara pekerja lelaki dan wanita adalah wajar.
Seminar Kebangsaan Mengenai Pekerjaan, Pendapatan dan Kesamarataan Gender di sini turut menonjolkan isu gangguan seksual di semua peringkat pekerjaan di setiap tempat kerja serta amalan tolak ansur mengenai produktiviti dan keselamatan pekerja wanita.
Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan dihadiri 50 peserta dari pelbagai agensi kerajaan, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagi memperbetulkan keadaan itu, seminar itu mengesyorkan supaya masyarakat perlu mengubah minda terhadap amalan stereotaip dan menggalakkan pembabitan golongan lelaki dalam berkongsi tanggungjawab menerusi pendidikan.
Ia juga mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang dan peraturan yang menggalakkan aturan pekerjaan yang mudah diubahsuai bagi menampung peranan wanita serta mengadakan peruntukan cuti bersalin yang lebih lama.
Seminar itu juga mendapati walaupun pertambahan ketara kemasukkan wanita dalam institusi pengajian tinggi di negara ini namum pasaran tenaga kerja menanggap graduan wanita rendah dari segi pemberian imbuhan.
Ia juga mendapati wujud sebilangan besar wanita berbakat yang belum dicungkil kerana kemudahan cuti bersalin yang tidak cukup, peraturan tegas dan tidak selesa, pemikiran masyarakat yang keterlaluan mengenai peranan wanita dan kekurangan sokongan golongan lelaki dalam menanggung tanggjungawab menjaga anak-anak dan orang tua.
Seminar itu mengesyorkan supaya Akta Pekerjaan 1955 diperluaskan dengan meliputi kesemua wanita yang bekerja. Ketika ini, akta itu tidak meliputi pekerja domestik dan mereka yang menerima gaji lebih RM1,500 sebulan.
Bagi menampung keperluan pekerja kurang upaya, seminar itu mencadangkan supaya kerajaan merangka strategi bagi menggalakkan majikan memenuhi kehendak golongan itu sebagai satu tanggungjawab sosial.
Mengenai pekerja domestik, seminar tersebut memaklumkan garis panduan yang sedia ada dan kontrak pekerjaan bagi katgeori itu dirangka supaya lebih berkesan dengan mekanisme penguatkuasaan yang betul.
Ia juga menegaskan bahawa kerajaan menggubal peraturan tegas bagi ejen pekerja dan majikan bagi mengelak pembantu rumah menjadi mangsa penderaan atau dieksploitasikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan