BERNAMA
PULAU PINANG: Bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohamad Fairus Khairuddin mendakwa namanya telah dibersihkan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli politik dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai SPRM berhubung perkara itu petang tadi.
"Saya dimaklumkan bahawa nama saya telah dibersihkan dan kes ini telah pun selesai. Saya bersyukur bahawa akhirnya kebenaran berpihak kepada saya," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Mohamad Fairus, 33, yang dikaitkan dengan siasatan rasuah membabitkabn projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan Ketua Menteri 1 pada 8 April lalu.
Beliau juga melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 16 April lepas atas alasan ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat pascaijazah.
Mohamad Fairuz berkata, berkat kesabarannya mengharungi saat getir dikaitkan dengan isu rasuah kuari, akhirnya membuahkan hasil apabila kebenaran berpihak kepadanya.
Beliau yang mendapat anak lelaki semalam menganggap berita baik ini sebagai kegembiraan berganda buat dirinya.
"Inilah berkat kesabaran kita berjuang kerana agama dan bangsa, Alhamdulillah," kata Mohamad Fairus.
Bagaimanapun, pegawai SPRM tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri menerima laporan siasatan berhubung tiga kuari di daerah Seberang Perai Tengah yang didakwa terlibat dalam isu di bawah deklarasi royalti sehingga mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan negeri, semalam.
Lim menerima laporan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Law Choo Kiang yang mengetuai siasatan itu.
Kata beliau, kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan Jawatankuasa Tanah negeri sebelum mengumumkan laporan tidak lama lagi.
"Kita akan lihat cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.
Pada 31 Mac lepas, kerajaan negeri membekukan semua bentuk operasi tiga buah syarikat kuari bertujuan membantu siasatan mengenai isu di bawah deklarasi royalti, yang mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan.
Lim dilaporkan berkata, siasatan itu melibatkan kadar royalti tanah merah dan bahan batuan yang dikurangkan daripada RM3 kepada RM1 satu meter padu meter.
Tiga syarikat kuari itu ialah Kuad Sdn Bhd, Batu Tiga Quarry Sdn Bhd dan Saw Chong Teok Quarry Sdn Bhd.
Sementara itu, Law berkata, selain kerajaan negeri, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Pulau Pinang turut menyiasat kes itu.
"Jawatankuasa yang saya ketuai bertujuan menentukan adakah kekurangan pengiraan dan pembayaran royalti bahan batuan daripada tiga syarikat kuari itu," katanya.
1 ulasan:
YB Fairus telah menunjukkan contoh yang baik & HEBAT kepada semua ADUN dan MP bahawa apabila di ragukan kewibawaan sedikit (contohnya di siasat oleh SPRM berkaitan penyalahgunaan kuasa) dia terus meletakkan jawatan.
Ini seperti apa yang berlaku di negara maju. Apakah orang politik dari BN boleh ikut sepertinya?
Bersihkan dulu nama pemimpin2, baru rakyat selesa & aman!
Catat Ulasan