HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 April 2009

Beku projek hanya sementara

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
dan SAIFUL AFFENDY SAPRAN


KUALA LUMPUR - Pembekuan projek penggantian paip lama dan paip komunikasi bernilai RM2.6 bilion oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) yang diumumkan Selasa lalu hanya bersifat sementara.

Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata, fasa ketiga projek itu yang sepatutnya dimulakan pada 1 Januari lalu tertangguh berikutan penyusunan semula sektor pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sehubungan itu, katanya, para kontraktor yang terlibat diminta bersabar buat sementara waktu sehingga segala keputusan mengenainya dicapai kelak.

"Sebelum ini projek yang sama membabitkan fasa satu dan dua yang dimulakan pada tahun 2005 membabitkan perbelanjaan sekitar RM2.3 bilion berjalan tanpa sebarang masalah.

"Cuma apabila fasa ketiga ini mahu dimulakan, kerajaan telah mengarahkan ia ditangguhkan. Jadi sebagai operator yang terlibat kami terpaksa akur,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan Persatuan Kontraktor Air Selangor (PKAS) kelmarin mengenai nasib lebih 600 syarikat kontraktor yang mungkin terpaksa gulung tikar ekoran tindakan Syabas membekukan projek penggantian paip lama dan paip komunikasi bernilai RM2.6 bilion.

Abdul Halem bagaimanapun menafikan penangguhan projek tersebut mempunyai kaitan dengan pertikaian yang berlaku antara Kerajaan Selangor dengan Syabas dan berharap orang ramai tidak membuat tanggapan sedemikian.

Tiada ulasan: