HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2009

Isu sempadan akan dimuktamad

UTUSAN ONINE


BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia dan Brunei bersetuju meneruskan rundingan mengenai persempadanan darat dan maritim antara kedua-dua negara dan berharap ia dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan berlangsung kira-kira satu jam 15 minit antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini, malam ini.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Perdana Menteri berkata, perbincangan mengenai isu persempadanan akan diteruskan dan buat masa ini tidak ada tempoh ditetapkan, bagaimanapun Malaysia berharap ia dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Ditanya sama ada perbincangan persempadan itu termasuk tuntutan ke atas Limbang, Najib berkata: ''Kita sebut dalam konteks persempadanan darat dan maritim, kita tidak sebut Limbang.

''Perkara ini akan berjalan, kita tidak tahu bila akan dimuktamadkan tetapi harap tidak lama lagi."

Beliau yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Brunei berpuas hati dengan perbincangan empat mata bersama pemimpin tertinggi negara ini yang disifatkannya sebagai berlangsung dalam suasana amat mesra dan menyentuh banyak perkara berhubung kedua-dua negara selain perkembangan serantau.

Mengenai hubungan dua hala Malaysia-Brunei, Perdana Menteri berkata, Sultan Hassanal Bolkiah berpuashati dan selesa dengan kedudukan bilateral masa kini dan berharap ia dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

Selain itu, menurut Najib, Sultan Hassanal Bolkiah juga membayangkan minat Brunei menerusi agensi pelaburannya untuk terus melabur dalam projek tertentu di Malaysia dan khusus menyebut tentang pembinaan hotel lima bintang berhampiran KLCC.

Projek tersebut, katanya, akan siap tidak lama lagi.

Brunei juga, kata Perdana Menteri, melahirkan hasrat supaya perjanjian cukai berganda antara kedua-dua negara dapat dimuktamadkan secepat mungkin sambil tidak menolak minat negara itu untuk meninjau peluang-peluang pelaburan lain di Malaysia.

Menurut beliau, bidang-bidang lain yang disentuh dan diharap dapat terus dikembangkan termasuk pelancongan, dan juga usaha mempereratkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

''Sultan Brunei berharap lebih ramai menteri dari Malaysia mengadakan lawatan ke Brunei untuk mengenali rakan sejawatan masing-masing dan perkara ini kita akan lakukan dari semasa ke semasa," katanya.

Brunei juga, katanya, menggambarkan hasrat supaya perbincangan tahunan antara kedua-dua negara dilangsungkan Ogos tahun ini yang mana Brunei akan menjadi tuan rumah.

Mengenai sektor pelancongan, katanya, oleh kerana ramai rakyat Brunei melawat Malaysia terutamanya Sabah khususnya di Miri, maka bidang tersebut berpotensi besar untuk dikembangkan, oleh itu perbincangan lanjut untuk menggubal pakej bersama perlu diadakan.

Tiada ulasan: