HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 April 2009

Perkenal dasar terbuka, Najib cabar generasi muda sertai sektor awam

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memperluaskan dasar pembaharuannya sejak dilantik Perdana Menteri awal bulan ini dengan kali ini mengemukakan syor dasar pintu terbuka bagi sektor perkhidmatan awam.

Syor itu merupakan satu daripada tiga pembaharuan struktural dalam usaha modenisasi sektor awam yang diketengahkan oleh Perdana Menteri.

Dasar pintu terbuka itu akan membolehkan pegawai perkhidmatan awam dipinjamkan ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebaliknya untuk saling menimba pengalaman.

"Dengan cara ini pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara," kata beliau semasa menyampaikan amanat pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh di sini hari ini.

Selain itu Najib berkata bagi mendapatkan bakat yang terbaik, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap hingga menjadikan mereka organisasi yang hebat.

"Kita akan menghantar yang terbaik dikalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government, di Universiti Harvard, dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut berkongsi konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan sebaik sahaja mengambil alih pucuk kepimpinan sebagai Perdana Menteri.

Beliau menambah, "dalam menterjemahkan aspirasi ini, saya komited bagi memastikan perkhidmatan awam Malaysia akan dianggotai anak-anak Malaysia yang terbaik."

"Saya mencabar generasi muda yang hari ini mengkritik sektor awam untuk bersama-sama kita menambah baik sistem dari dalam.

"Marilah bersama menyertai perkhidmatan awam, mempersembah kudrat dan pemikiran saudara saudari demi pertiwi," katanya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan sedar bahawa buat masa ini perkhidmatan awam tidak boleh menandingi kelumayanan yang ditawarkan oleh sektor swasta tetapi apa yang boleh ditawarkan adalah rasa kepuasan berkhidmat demi rakyat dan negara.

"Walau apapun, kita sedang berusaha untuk menyemak dan menambah baik skim-skim perkhidmatan yang kritikal agar pengorbanan saudara dan saudari dihargai," katanya lagi.

Selain perubahan struktural, Najib turut menggariskan empat anjakan paradigma dalam proses modenisasi menyeluruh sektor perkhidmatan awam supaya dapat disesuaikan dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Antaranya:

- Pertama, anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan. Anggota perkhidmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan sebaliknya dicipta oleh sektor swasta. Hasil kekayaan itu, kerajaan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai korporat yang digunakan bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

- Kedua, beralih daripada budaya output dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek outcome atau dampak keberhasilan secara holistik. Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan ‘output’ kepada kejayaan yang berasaskan ‘outcome’.

- Ketiga, anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat. Kerajaan memperakui sistem birokrasi yang ada di Malaysia telah membawa pembangunan ke seluruh penjuru negara sejak lima puluh tahun yang lalu, namun hari ini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam berada di belakang keluk perubahan negara mahupun global.

- Keempat, anjakan daripada produktiviti semata-mata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan innovasi. Ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan penambahbaikan secara bertokok (incremental), jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi, ia akan memberikan penambahbaikan secara anjakan berganda (quantum leap).

Tiada ulasan: