HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 April 2009

TPM Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti untuk mengkaji proses secara lebih telus, terbuka dan demokratik dalam soal pemilihan parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Bung Moktar Radin memberitahu, mesyuarat MT semalam hanya melantik Muhyiddin sebagai pengerusi jawatankuasa.

''Timbalan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu akan melantik ahli-ahli jawatankuasa bagi mengkaji mengenai cadangan pindaan yang akan dibuat,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan, Perlembagaan UMNO akan dipinda pada perhimpunan agung khas hujung tahun ini yang akan menyentuh kaedah dan proses pemilihan secara lebih telus, terbuka dan demokratik.

Perkara itu dipersetujui oleh MT UMNO yang bermesyuarat buat pertama kali semalam selepas pemilihan parti Mac lalu.

Beliau juga mengumumkan penubuhan jawatankuasa untuk mengendali cadangan berhubung pindaan dan perubahan tersebut akan dibawa ke MT untuk dipertimbangkan sebelum dibawa ke perhimpunan agung khas dalam tahun ini.

Bung Moktar memberitahu, mesyuarat semalam tidak memberikan apa-apa cadangan kepada jawatankuasa tersebut sebaliknya jawatankuasa itu perlu memberi cadangan-cadangan kepada MT untuk dipertimbangkan.

''Jawatankuasa itu dijangka mengadakan perbincangan dan mendapatkan pandangan daripada bahagian-bahagian UMNO tentang bentuk pindaan itu akan dibuat.

''Saya menjangkakan jawatankuasa itu akan dapat mengadakan perbincangan dengan bahagian-bahagian UMNO selepas Julai iaitu selepas mesyuarat perwakilan tahunan bahagian berakhir,'' katanya.

Beliau juga tidak menolak bahawa bahagian-bahagian akan mengemukakan cadangan semasa berlangsungnya mesyuarat perwakilan tahunan nanti.

Manakala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga ahli MT UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu, mesyuarat semalam belum melantik ahli jawatankuasa itu tetapi menjangkakan ia akan diselesaikan pada mesyuarat MT akan datang.

Tiada ulasan: