HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 April 2009

Nizar mohon panel 9 hakim dengar permohonan Zambry

BERNAMA


PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu panel sembilan hakim bagi mendengar permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk Mahkamah Persekutuan memutuskan siapa Menteri Besar Perak yang sah.

Peguam Mohammad Nizar, Leong Cheok Keng, ketika dihubungi hari ini, berkata bahawa beliau telah menghantar surat kepada setiausaha bagi Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi Rabu lepas dengan memohon panel hakim yang besar untuk mendengar perkara itu.

Antara alasan yang diberi untuk menyokong permohonan itu adalah perkara itu mempunyai kepentingan awam dan mereka mahu mengimbas semula isu aplikasi atau kesahihan Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Leong berkata panel lima anggota hakim sebelum ini telah membahaskan Perkara 63.

Mahkamah telah menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan Zambry.

Beliau membawa perkara itu terus ke Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang memperuntukan mahkamah teringgi di negara ini menentukan dan menafsirkan Perkara 16(2) dan 16(6) dalam perlembagaan negeri itu.

Zambry mahu mahkamah menentukan tiga persoalan berperlembagaan membabitkan penafsiran hak Sultan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak untuk melantik seorang menteri besar.

Dalam permohonannya, katanya, jika keputusan terhadap persoalan itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dan memihak kepadanya, maka beliau mahu mahkamah mengisytiharkan pelantikannya sebagai Menteri Besar pada 6 Feb lepas adalah mengikut perlembagaan negeri itu.

Mohammad Nizar, bagaimanapun, memfailkan afidavit jawapan semalam dengan membantah rujukan itu, dengan menyatakan persoalan yang dicadangkan oleh Zambry untuk mahkamah menentukan tidak boleh menyelesaikan kebuntuan politik di negeri itu.

Tiada ulasan: