HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2009

Aminah harap BN tak letak calon, nak lawan PKR 'one on one'

Bernama


Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah yang menawarkan diri sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti berharap beliau dapat bertanding satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil itu.

Aminah berharap Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding kerusi berkenaan dan memberinya laluan untuk melawan PKR dan memberi cabaran kepada parti itu pada pilihan raya kecil yang akan diadakan.

“Saya berharap dapat berdepan dengan PKR untuk benar-benar menegakkan keadilan dan kebenaran. Janganlah kita sembunyikan kebenaran daripada rakyat, kalau kita salah, akuilah kesalahan itu supaya ia dapat diperbetulkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Subang dekat sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat di Putrajaya bagi mengumumkan mengenai status kerusi dewan udangan negeri itu.

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain telah mengesahkan baru-baru ini bahawa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin telah meletakkan jawatan. Mohammad Fairus tetap dengan keputusannya meletakkan jawatan walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membebaskannya daripada sebarang tuduhan berhubung siasatan rasuah.

Tiada ulasan: