MALAYSIA KINI
Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mengadakan sidang akhbar esok untuk memberi penerangan terkini berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai lambang 'genggaman tangan' parti itu.
PSM telah mendapat pendaftaran di bawah seksyen 7, Akta Pertubuhan 1966 pada 19 Ogos tahun lalu, setelah sepuluh tahun berjuang, termasuk membawa kes itu ke mahkamah.
Bagaimanapun, menurut kenyataan PSM hari ini, SPR tidak mahu mendaftar lambang PSM dan antara sebabnya adalah lambang tersebut merupakan simbol kekerasan dan tidak bermoral.
Sebelum ini, PSM telah menghantar memorandum kepada SPR bertarikh 19 Mac lalu, kerana tidak puas hati dengan tindakan SPR itu yang didakwa memberikan alasan yang tidak kukuh untuk mempertikaikan simbol parti itu.
PSM menyifatkan tindakan SPR itu secara tidak langsung menyekat hak demokrasi PSM untuk bertanding dalam pilihanraya dan terlibat langsung dalam politik tanahair.
Dalam memorandum tersebut, PSM berpendirian bahawa alasan dan tindakan SPR itu tidak adil, berdasarkan:
* Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang merupakan pihak utama dan autoriti dalam persoalan pendaftaran sudahpun meluluskan pendaftaran PSM, termasuk simbol PSM yang termaktub dalam undang-undang tubuh pertubuhan.
* Sekian lama pendaftaran PSM tidak diluluskan oleh ROS dan KDN atas alasan menurut mereka, kerana tidak mematuhui prosedor ahli tujuh negeri dan ancaman keselamatan negara. Mahkamah Rayuan memutuskan PSM bukan ancaman kepada keselamatan negara. Tidak pernah sekali alasan simbol PSM dipertikaikan sebagai sebab untuk penolakan PSM.
* Setelah sekian lama menggunakan simbol tersebut, tidak ada sebarang aduan dari orang ramai mengenainya dan sehingga ini tidak ada mana-mana pihak yang pernah mempersoalkan simbol tersebut dari segi moralnya mahupun melabel simbol ini bercorak kekerasan.
* Jika simbol gengaman tangan ini boleh dianggap sebagai simbol kekerasan, bagaimana pula dengan simbol keris dan roket yang juga boleh diintepretasi sebagai lambang kekerasan.
* Simbol yang digunakan oleh PSM adalah satu simbol popular perjuangan dan digunakan secara meluas oleh banyak parti sosialis diseluruh dunia.
* Antara organisasi yang menggunakan simbol ini adalah The International Socialist Organization (ISO) di Amerika Syarikat , Parti Sosialis Pekerja (SWP) di Britain, Socialist Youth Front di Denmark, Socialist International dan The International Brotherhood of Electrical Workers (IBEW).
* Andaikata simbol PSM ini adalah satu simbol tidak bermoral dan berunsur kekerasan, sudah pasti rakyat Malaysia akan menolak PSM dalam pilihanraya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan