HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 April 2009

Shafie garis dua faktor tawan semula Kedah

BERNAMA


LANGKAWI: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang baru dilantik, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menggariskan dua faktor sekiranya parti itu mahu menawan semula Kedah daripada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata anggota Umno perlu bersatu mengukuhkan perpaduan dan pemimpin hendaklah bekerja kuat untuk berkhidmat pada masyarakat dan mengutamakan rakyat.

"Rakyat akan melihat kepada dua faktor ini kerana ia adalah kunci untuk memulihkan kepercayaan mereka yang akan menilai sebelum memilih Umno semula dan Barisan Nasional (BN) amnya.

"Saya percaya dan yakin jika ini menjadi pegangan Umno, tiada sebab mengapa ia tidak boleh mengambil alih semula tampok pemerintahan," katanya kepada pemberita selepas jamuan makan malam bersama Umno bahagian Langkawi di sini, malam tadi.

Menurut Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kedah mempunyai kerajaan yang baik selama ditadbir kerajaan BN, cuma rakyat berharap untuk menikmati khidmat yang lebih baik. Shafie juga mengupas pelantikkannya yang beliau anggap hanyalah sebagai satu lagi tambahan untuk memperkuat dan mengukuhkan lagi Umno Kedah, dan bukan bermakna negeri ini tiada calon berkaliber untuk dilantik memegang jawatan itu.

"Pelantikan saya tidak mendapat bantahan mana-mana pihak di Kedah. Malah saya tiada agenda untuk bertanding atau berhasrat menjadi Menteri Besar Kedah, cuma satu sahaja iaitu mengembalikan kuasa pemerintahan kepada BN," katanya.

Beliau akan memanggil semua anggota komponen BN untuk bermesyuarat dan menyusun semula gerak kerja yang perlu dilaksanakan bagi menambat semula hati pengundi dewasa dan muda.

"Saya memerlukan kerjasama semua pihak bagi menjayakan agenda ini kerana tidak berupaya melaksanakannya berseorangan.

"Kedah memiliki asas yang cukup kuat dan tiada masalah besar mengukuhkan semula kedudukannya agar mendapat tempat di hati rakyat," katanya.

Menjawab soalan pemberita mengenai ketidakhadiran semua ketua bahagian malam ini iaitu pertemuan pertama selepas pelantikannya, Shafie berkata majlis berkenaan diatur dalam masa singkat oleh Umno Langkawi.

Katanya mesyuarat dengan semua ketua bahagian akan diadakan tidak lama lagi.

Mengenai barisan jawatankuasa baru Umno Kedah, katanya beliau akan berbincang dengan presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu sebelum mengumumkannya.

"InsyaAllah perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat kerana kita mahu menjalankan kerja secepat mungkin," katanya dan menambah beliau akan lebih kerap ke Kedah selepas ini.

Shafie berkata tidak mustahil Kedah akan dapat dirampas kembali seperti yang dilakukan gerakan 'gelombang biru' yang menumbangkan kerajaan PAS Terengganu pada pilihan raya umum 2004.

Tiada ulasan: