Harakahdaily
Apabila Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil alih teraju negara 3 April lalu, beliau telah membebaskan dua orang tahanan politik dan memberi isyarat bahawa beliau bersedia menerima kebebasan media yang lebih luas. Bagaimanapun selepas itu, pengkritik-pengkritiknya berkata keadaan kembali seperti sediakala.
Minggu ini mahkamah membicarakan tiga kes hasutan dan berikutnya, janji awal untuk mengkaji semula undang-undang yang membolehkan penahanan tanpa bicara nampaknya masih entah ke mana.
Kes yang dibicarakan melibatkan ahli Parlimen pembangkang yang terkemuka, seorang blogger dan aktivis kaum India yang mengadakan demonstrasi pada 2007.
Tapisan sendiri
Bagi media, terutama blog-blog politik yang segar aktif dalam negara 27 juta penduduk ini, penekanan kerajaan terhadap apa yang dipanggil laporan yang "bertanggungjawab" itu sebenarnya satu mesej supaya media berkenaan membuat tapisan sendiri atau jika tidak, mereka akan diambil tindakan.
Hal ini berbeza ketara dengan apa yang berlaku di negara jiran Indonesia yang mempunyai demokrasi yang cukup segar beserta media yang bebas selepas berdekad berada di bawah pemerintahan yang autokratik, dan di Thailand, biarpun keadaan rusuhan berlarutan berbulan-bulan, namun media perdananya tidak sedikitpun terjejas.
"Kita di sini sebenarnya berada di Burma dengan ekonominya agak lebih canggih," kata Dato' Zaid Ibrahim, bekas menteri yang meletak jawatan tahun lalu kerana memprotes kerajaan atas keengganan melaksanakan perubahan dalam sistem perundangan, dan menyifatkan Malaysia sebagai rejim yang paling menindas di Asia.
Malaysia diperintah oleh Barisan Nasional sejak 51 tahun yang lalu, dan akhir bulan lalu, berlaku perubahan dalam Umno - parti tunjang BN - apabila Najib, 55, yang berpendidikan British, dilantik sebagai perdana menteri yang baru.
Liberalkan ekonomi
Sementara Najib melakarkan dasar untuk meliberalkan ekonomi yang disifatkan terburuk sejak krisis kewangan Asia sedekad yang lalu, banyak isu sosial masih dihadkan kepada media untuk diungkapkan.
Ahli Parlimen Pembangkang, Karpal Singh didakwa atas Akta Hasutan kerana mengugut untuk menyaman sultan, sementara blogger Raja Petra Kamarudin dibicarakan kerana mengaitkan Najib dengan kematian model Mongolia.
Najib menafikan dirinya terlibat dan menyifatkan laporan yang dihebahkan oleh pembangkang itu sebagai "pembohongan berniat jahat". Tidak ada bukti dikemukakan bagi mengaitkan dirinya dengan pembunuhan tersebut.
Rakan karib Najib bebas
Dua anggota polis yang berkhidmat dengan Najib baru-baru ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh model Mogolia tersebut, sementara rakan karib Najib dibebaskan dalam perbicaraan yang sama.
Isu kaum di dalam negara, yang menyaksikan masyarakat Cina dan India hidup berdampingan dengan majoriti masyarakat Melayu, dihadkan kepada media untuk dibincangkan kerana kata kerajaan ia boleh menimbulkan kekacauan.
Sistem politik, sosial dan ekonomi Malaysia dibina mengikut garis perkauman. Ketidakpuasan hati pengundi terhadap sistem tersebut telah mengakibatkan persembahan BN begitu buruk dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Umno kemudian memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi memberi laluan kepada Najib untuk mengambil alih teraju negara dengan harapan beliau dapat memulihkan semula BN. Namun kekalahan berturut-turut BN dalam beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas Najib mengambil alih pemerintahan menunjukkan pentadbirannya gagal memikat hati rakyat.
Ini menimbulkan persoalan sama ada Najib akan melakukan pembaharuan ekonomi bagi memenangi semula hati pelabur asing yang kini semakin banyak pergi ke negara jiran, ataupun tidak.
"Kerajaan tidak akan dapat bertindak sebagai satu unit yang bersepadu selagi Najib tidak bertindak sebagai seorang pemimpin yang kuat, bukan kepada masyarakat, tetapi kepada sistem di mana dia adalah pemimpinnya," kata Ooi Kee Beng, fellow di Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura. "Inilah yang dinamakan reformis. Dia bersihkan rumah."
Zaid, bekas menteri yang diberi tanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang berkata, beliau yakin Najib tidak punya keupayaan untuk merubah sistem.
Tidak upaya ubah sistem
Menurutnya, media perdana Malaysia merupakan sebahagian daripada sistem berasaskan naugan etnik, begitu juga dengan ekonomi, dan Najib tidak akan sanggup untuk bersikap lebih terbuka.
The New Straits Times, akhbar harian berbahasa Inggeris yang menyokong kerajaan, adalah milik Media Prima, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Umno, begitu juga dengan rangkaian televisyen swasta terbesar TV3.
MCA, rakan Umno dalam BN, memiliki akhbar Star, yang mempunyai pengedaran harian paling tinggi melalui Star Publication.
"Selagi kerajaan ini masih berkuasa, tidak akan ada media bebas. Yang ada hanyalah persaingan akhbar milik Umno dan MCA. Ini merupakan perniagaan yang besar. Mereka tidak akan mahu bersaing di atas nama kebebasan," kata Zaid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan