HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2009

Enam daripada 29 pelajar ponteng yang ditahan positif pil kuda

BERNAMA


KOTA BAHARU: Enam daripada 29 pelajar yang ditahan dalam Ops Ponteng Sekolah Bersepadu yang dilakukan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Baharu di sebuah pusat membeli belah di sini pagi tadi, dikesan positif pil kuda.

Pegawai Pelajaran Daerah, Abdul Aziz Abdul Daud berkata, kesemua pelajar berkenaan yang berusia di antara 13 hingga 17 tahun itu ditahan ketika sedang berpeleseran di sekitar pusat membeli belah di sini dan di sebuah taman rekreasi di pinggir bandar ini, dalam operasi yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 1 tengah hari.

"Operasi itu adalah sebagai usaha membanteras masalah ponteng yang semakin meningkat di kalangan pelajar di sekitar bandar ini.

"Seramai 170 petugas termasuk kakitangan PPD Kota Baharu bersama 17 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB), Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kelantan (AADK) Kelantan dan Jabatan Kesihatan Kelantan.

Bercakap kepada pemberita di sini beliau berkata operasi dilakukan di kawasan yang dikenalpasti menjadi tumpuan kebanyakan pelajar ponteng sekolah.

"Antara lokasi, pusat beli belah di Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Hamzah, Taman Bendahara, Taman Rekreasi Tengku Anis, Taman Hijau, Bazar Buluh Kubu dan Kubang Kerian," katanya.

Abdul Aziz berkata semua pelajar yang ditahan itu akan diwajibkan menyertai program kesedaran anjuran PPD bersama ibu bapa mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Abd Rahman berkata, pihak JPN menyokong operasi seperti itu dilaksanakan dengan lebih kerap dan berterusan bagi membanteras sepenuhnya masalah ponteng sekolah.

Tiada ulasan: