HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 April 2009

Pas tidak sorok masalah dalaman

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Dakwaan pemimpin Pas cuba menyembunyikan masalah dalaman kerana tidak mahu dilihat sebagai parti yang mempunyai masalah disangkal ahlinya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Pas mahupun pimpinan parti itu tidak menyorokkan masalah dalaman yang dihadapi sebaliknya menguruskan perbezaan pandangan yang timbul dengan cukup baik.

Menurutnya, dalam setiap muktamar yang lalu sudah dinyatakan dalam bahawa tidak ada satu budaya atau sikap dalam Pas untuk sengaja menyembunyikan maklumat.

“Amalan dalam Pas, kebaikan atau kesejahteraan parti tertakluk kepada pengu-rusan perbezaan pandangan dengan cara yang terbaik.

“Kita tidak mentaati pemimpin Pas begitu sahaja dalam proses membuat keputusan, kepimpinan akan ditegur dan dikritik dan ini berlaku dalam muktamar Pas. Tidak ada kekangan atau halangan dalam parti untuk mencetuskan pandangan atau idea yang berbeza sebaliknya ia perlu untuk menjana pemikiran tetapi tidak kerap atau sehingga membawa kepada perpecahan dalam parti,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh isu muzakarah yang berjaya ditangani dengan baik yang mana pendekatan muqabalah lebih disenangi pimpinan Pas Pusat tanpa mengambil kira siapa yang mengutarakan pandangan berkenaan.

Dr Dzulkefly berkata, pendapat terbaik yang diutarakan akan dibincangkan dan dipertimbangkan di peringkat pemimpin tertinggi sebelum diputuskan oleh Majlis Syura.

“Setiap pandangan yang diberikan adalah berdasarkan fakta bahkan mereka sendiri menyelidik terlebih dahulu sebelum berhujah mengenai sesuatu perkara.

“Namun, selepas keputusan dibuat oleh Majlis Syura, seharusnya tidak ada pertikaian yang dibuat oleh mana-mana individu,” katanya.

Cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga antara contoh terbaik yang menunjukkan cara Pas menangani perbezaan panda-ngan.

Katanya, Hadi hanya melontarkan atau mencetuskan idea, kemudiannya berlaku perdebatan dan perbaha-san.

“Tetapi pandangan ramai lebih mirip kepada tidak menyokong cadangan berkenaan, namun itu bukan bermaksud mereka menolak presiden sebaliknya hanya menolak cadangan yang diutarakan, iaitu sama ada belum sampai waktu atau tidak sesuai.

“Dalam politik, banyak perkara yang tidak jelas dan perlu dikaji serta diamati dengan cermat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib berkata, dalam dunia tanpa sempadan ini, semua pihak boleh mendapatkan maklumat yang mereka kehendaki.

Menurut Saari, tidak timbul soal sembunyikan atau tidak masalah dalam parti kerana orang tetapi akan mengetahuinya walaupun ingin disembunyikan.

“Justeru agak mustahil untuk pimpinan Pas menyembunyikan atau merahsiakan apa yang berlaku dalam parti.

“Mengenai perbezaan idea atau pandangan memang ada dalam Pas tetapi ia akan dirundingkan dalam parti dan seharusnya semua pihak akur dengan keputu-san Majlis Syura serta memberikan kerjasama untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu perpecahan dalam parti kerana pencalo-nan dibuat secara terbuka mengikut kawasan masing-masing, yang mana mereka akan mencalonkan individu yang dirasakan layak untuk diketengahkan.

“Sekiranya ada masalah dalaman, tidak kira di peringkat atas atau bawah, masing-masing akan berbincang dan menyelesaikan dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: