HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 April 2009

Liberalisasi kewangan: Lain berkudis, lain diubati

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Tempat lain yang berkudis tokak, tempat lain yang diubati.

Demikian ulasan spontan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar terhadap tindakan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak meliberalisasi sektor kewangan dan 27 subsektor perkhidmatan bagi meningkatkan keyakinan pasaran terhadap negara ini.

"Masalah yang paling parah yang dihadapi negara ini sehingga menjejaskan keyakinan pasaran ialah rasuah dan kronisme.

"Jangankan pihak luar, rakyat negara ini sendiri tidak henti-henti menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi kuda tunggangan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) dan cakap-cakap memerangi rasuah hanya temberang semata-mata.

"Syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor yang diliberalisasi pula selama ini dilihat sebagai padang perlumbaan kroni-kroni merebut kekayaan dan tidak membantu peniaga tulen," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yakin, selagi kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) enggan mengatasi masalah tersebut, negara ini tidak akan dilihat sebagai negara yang pro-perniagaan dan benar-benar meyakinkan pasaran.

Mahfuz juga mengecam kerajaan Umno BN yang hanya berminat meliberalisasikan sektor perniagaan tetapi terus mengongkong sektor yang melibatkan keperluan asas rakyat, termasuk golongan miskin.

"Apa hebatnya kerajaan Najib memperuntukkan kira-kira RM1 bilion subsidi tiga jenis barang kawalan iaitu gula, tepung dan roti jika perniagaan barangan utama itu terus terhimpit dalam penjara monopoli?

"Peruntukan RM1 bilion pun, rakyat dapat manfaat sejemput dan peniaga tamak yang memonopoli perniagaan barangan asas tersebut dapat manfaat bertimbun-timbun," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mohtar Radin pernah membangkitkan pertanyaan rakyat di Dewan Rakyat Rakyat tentang "siapa itu Robert Kuok yang diberi konsesi import gula secara perseorangan. Bertahun-tahun gula masih krisis. Kenapa tidak diberi lesen kepada orang lain? Kenapa dia sahaja yang monopoli?"

Malaysiakini pula pernah menyiarkan kenyataan Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman yang mempersoalkan mengapa jumlah syarikat pengeluar gula perlu dihadkan kepada empat buah sahaja, dan itupun dikuasai oleh dua orang sahaja : 'Raja Gula''Sugar King' Robert Kuok dan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

"Saya tidak nampak kerajaan Najib adalah kerajaan yang mengambil berat penderitaan rakyat apabila terus mengongkong sektor keperluan asas.

"Mengapa enggan meliberalisasikan sektor tersebut? Adakah kerana hendak membela puak kapitalis?" Mahfuz mempersoalkan. _

Tiada ulasan: