Oleh: Huzaifah
Jikalah para sultan ataupun pemerintah yang bertaktha dan berkuasa pada hari ini, sedar dari mana asal mereka dan ke mana mereka akan pergi selepas ini, nescaya mereka akan menjadi sultan dan pemerintah yang adil. Malangnya, amat sedikit golongan sultan dan pemerintah yang mempamerkan akhlak sebenar pemimpin sejati. Sekurang-kurangnya, dalam keterbatasan kuasa yang masih berbaki, iaitu dalam Jadual 9 Perlembagaan Negara, khususnya menyinggung agama Islam dan adat-istiadat Melayu, para sultan khususnya perlu memastikan ia dijana sebaik-baiknya.
Hakikatnya, para sultan adalah manusia terpilih. Mereka dipilih Allah SWT untuk lahir daripada rahim atau perut seorang wanita yang kebetulan menjadi isteri sultan, kemudian mereka terpilih untuk hidup dan membesar sehinggalah akhirnya mereka cukup bersedia menyarung jubah di raja ke tubuh mereka.
Dalam sejarah kesultanan dunia, sama ada di rantau ini mahu pun di sebelah barat, timur dan di mana sahaja, kita akan terjumpa dua jenis sultan. Pertama, sultan yang terkenal kerana keadilan, kebijaksanaan dan kewibawaan pemerintahannya. Kedua, sultan yang terkenal juga, tetapi kerana kezaliman, kedunguan dan kelemahan pemerintahannya. Sebab itulah, setiap orang sultan sewajarnya rajin mentelaah kitab-kitab sejarah lalu, meneliti bukan sekadar silsilah keturunan mereka, tetapi menggali akar kekuatan seorang sultan.
Ramai sultan yang mampu dijadikan role model kepada para sultan hari ini. Jika di alam Melayu ini, bukan sedikit sultan yang terkenal senusantara. Di Melaka, Sultan Mansur Syah, Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Alauddin Riayat Shah merupakan antara sultan yang terkenal dengan kebijaksanaan dan keadilan.
Jika meninjau di Kepulauan Indonesia, kita akan terjumpa Sultan Merah Silu yang memerintah Pasai atau akhirnya menjadi Samudera, sebagai negeri Islam pertama di nusantara. Setelah memeluk Islam, beliau memakai nama Malik as-Saleh. Malik as-Saleh terkenal atas sikap dermawannya dan sentiasa mensyukuri rezeki kurniaan Allah.
Tapi jika nak lebih jelas sikap sultan yang baik, mari kita teropong kepada sejarah kesultanan Uthmaniyyah di Turki. Cuba kita buka lembaran sejarah kehidupan peribadi dan pemerintahan Sultan Murad misalnya atau anakandanya Sultan Muhammad. Mereka amat dikenali, bukan sekadar kehebatan empayar pemerintahan yang begitu luas; tetapi dek kerana keperibadian yang begitu menyerlah.
Sultan Muhammad misalnya, diberikan gelaran al-fateh atas kapasitinya membuka Kota Konstantine dari kerajaan Kristian dokongan Eropah, yang begitu lama dipertahankan mereka. Namun, sebelum baginda berjaya membuka sebuah kota, baginda terlebih dahulu membandingkan dirinya dengan sabda Rasulullah SAW, bahawa Konstatinopel hanya dapat dibuka oleh sebaik-baik tentera dan sebaik-baik raja juga sebaik-baik rakyat. Maka, baginda Muhammad telah menjadikan hadis itu sebagai pemangkin, demi meningkatkan keimanan dan ketakwaan sehinggalah akhirnya baginda berjaya menundukkan Raja Konstantine.
Sultan di Malaysia, bagaimana? Inilah yang menjadi mauduk bicara kita. Sayugianya sultan-sultan di Malaysia menjadikan kehebatan Sultan Muhammad al-fateh sebagai idola mereka. Adalah amat malang, jika mereka membiarkan diri terkurung dalam kemelut keduniaan. Hidup dalam sangkar kemewahan semata tanpa memikirkan masa hadapan rakyat jelata.
Rakyat di negara ini, semakin hari semakin jelak dengan segala macam penipuan yang dihadapkan kepada mereka. Apa yang tipu? Ya, rakyat bencikan slogan ‘Membela rakyat’, ‘Mohon restu rakyat’, ‘demi rakyat’, ‘perpaduan’ dan sebagainya, kerana si tukang promosi itu sendirilah yang mencetuskan kekecohan dan kebengongan. Begitu juga, rakyat tidak sanggup menerima jika seorang sultan menyatakan, mahu menegakkan keadilan bagi semua rakyat; namun pada masa yang sama bertindak sebaliknya.
Maka, oleh sebab itulah rakyat menuntut sultan-sultan menjadi pemerintah yang adil dan saksama. Misalnya dalam kekecohan isu politik di Perak, maka seorang sultan yang berada ‘di atas politik’ mesti menunjukkan sikap tidak berpihak yang jelas. Sikap sedemikian akan menyebabkan rakyat bertambah kasih dan sayangnya kepada baginda sultan. Maka, rakyat akan berdiri kukuh mempertahankan legasi kesultanan walaupun dihadapkan pelbagai tekanan.
Inilah, atas premis keadilan dan kesaksamaan, maka sewajarnya pihak yang berkenaan perlu kembali menilai diri. Adakah kita ini mampu menongkat langit menunjang bumi? Tidak, sampai saatnya kita akan pergi dan tak kembali lagi. Maka, tinggalkanlah nama yang harum, buat ingatan rakyat kepada anak dan cucu kita yang kita tinggalkan.
Jika harimau meninggal meninggalkan nama, kerbau mati meninggalkan tali, manusia mati meninggalkan bakti…wallahua’lam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan