HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2009

Pemilihan penerima ASW 2020 perlu telus

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan memberi peruntukan percuma sejumlah 100 juta unit Amanah Saham Wawasan (ASW 2020) kepada rakyat miskin dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

Presiden Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah yang disyorkan oleh kerajaan di lihat sebagai satu kaedah untuk meringankan beban khususnya masyarakat Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan ini, saya lihat sangat bermakna kerana sekurang- kurangnya mereka (penduduk miskin bandar dan tegar) ada simpanan sendiri. Mereka juga boleh menggunakan simpanan itu ketika susah dan saya sokong kerana ia sememangnya memberi banyak faedah kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, untuk memastikan semua rakyat mendapat manfaat menerusi peruntukan tersebut, kerajaan harus membuat satu garis panduan agar mereka benar-benar layak sahaja menerima.

“Kita ( Perkasa ) tidak mahu mereka yang tidak layak turut menerimanya dengan menggunakan saluran politik dan yang sepatutnya terima berputih mata. Oleh itu kita perlu teliti dan membuat pemilihan secara adil dan telus,” katanya.

Ibrahim berkata, kerajaan perlu tentukan perkara tersebut seperti calon dipilih oleh penghulu dan disahkan oleh Imam kampung serta penggawa selain Ketua Cawangan.

Yang di Pertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur, ( DPMMKL) Datuk Syed Amin Al Jefri berkata, ia menunjukkan keperihatinan kerajaan terhadap rakyat dengan pelaburan tersebut.

“Kerajaan menjalankan tanggungjawab sosialnya dengan peruntukan tersebut. Menerusi pelaburan itu rakyat akan menikmati dan meningkatkan hasil nilai pelaburan,” katanya.

Syed Amin berkata, kerajaan mempunyai had untuk membantu rakyat, justeru melalui kaedah ini sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat miskin.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mengumumkan peruntukan percuma sebanyak 100 juta unit Amanah Saham Wawasan (ASW 2020) kepada penduduk miskin bandar dan tegar seluruh negara.

Peruntukan yang dibuat melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu selari dengan langkah yang dinyatakan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Peruntukan itu tidak termasuk penambahan unit ASW dan juga Amanah Saham Malaysia (ASM), kesemuanya berjumlah 5.33 bilion unit yang turut diumumkan Isnin lalu.

Tiada ulasan: