HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2009

Isu elaun Mat Sabu: Guan Eng mohon maaf beri jawapan salah

BERNAMA


PULAU PINANG: Ketua Menteri Lim Guan Eng hari ini memohon maaf kepada Dewan Undangan Negeri kerana memberi jawapan yang salah berhubung isu pelantikan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, sebagai pengarah Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB).

Beliau memohon maaf kerana jawapan yang diberikan ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas hari ini, berbeza dengan maklumat yang diberikan dalam jawapan bertulisnya kepada Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua).

Menurutnya, Mohamad hanya dilantik sebagai pengarah bukan bebas di perbadanan itu dan menerima elaun tetap RM500 sebulan dan elaun mesyuarat sebanyak RM300 setiap kali menghadiri mesyuarat.

Katanya, jawapan bertulis yang diberikan kepada Jasmin sebelum ini bahawa Mohamad menerima elaun tetap RM1,500 sebulan, elaun mesyuarat RM300 dan elaun luar kawasan RM1,500 sebulan adalah tidak betul.

"Mohamad tidak boleh dikategorikan sebagai pengarah bebas kerana beliau adalah seorang ahli politik, dan saya nak betulkan bahawa beliau adalah pengarah tidak bebas dan jumlah elaun yang diterima adalah seperti yang saya sebutkan sebentar tadi," katanya.

Penjelasan Lim itu kemudian dibidas oleh Jasmin yang kecewa kerana jawapan yang bercanggah dan tidak betul diberikan kepadanya.

"Kerana jawapan yang tidak betul diberikan, saya telah membuat komen dan bercakap bohong kepada rakyat mengenai perkara ini.

"Macam mana jawapan boleh berbeza, adakah tidak disemak terlebih dahulu sebelum diberikan kepada kami," katanya.

Isu pemberian tanah kepada Lim Hock Seng (DAP-Bagan Jermal) yang didakwa tidak mengikut prosedur juga menyebabkan Dewan kecoh seketika apabila Lim tidak menjawab soalan Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) mengenai perkara itu tetapi sebaliknya mengungkit soal tanah yang dipajakkan kepada Safira Golf and Country Club, yang ada kaitan dengan Jahara.

Ketika itu, kedengaran suara dari barisan penyokong kerajaan menyebut "rasuah" dan ini menimbulkan kemarahan Jahara yang menjelaskan bahawa tanah Safira itu dikategorikan sebagai kawasan rekreasi dan nilai pajakan dibuat mengikut prosedur.

Jahara kemudiannya meminta orang yang menyebut perkataan itu memohon maaf tetapi tiada siapapun mengaku telah mengeluarkan perkataan itu.

Tuding-menuding berlaku dan akhirnya, Speaker Abdul Halim Hussain membuat keputusan supaya perkara itu disiasat, dan mereka yang bertanggungjawab perlu meminta maaf.

Jawapan Lim mengenai kedudukan Ketua Menteri sebagai Pengerusi Lembaga Tender juga menimbulkan rasa tidak puas hati barisan pembangkang yang meragui ketelusan beliau dalam membuat keputusan.

Jasmin, ketika mempertikaikan perkara itu, berkata beliau bimbang kerana sebagai ketua eksekutif negeri, Lim mungkin mempengaruhi keputusan pemberian tender itu.

Syed Ameruddin Syed Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula mempersoalkan jika terdapat masalah atau kesilapan dalam pemberian tender itu, kepada siapa masalah itu hendak dirujuk memandangkan Ketua Menteri juga menjadi pengerusi lembaga berkenaan.

Bagaimanapun, Lim memberikan jaminan bahawa beliau boleh bertindak profesional dalam perkara ini dan sekiranya timbul sebarang masalah, Ketua Menteri dan barisan exconya akan bertanggungjawab.

Tiada ulasan: