Wartawan Buletin
KUALA TERENGGANU – Polis sedang mengesan bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi membantu siasatan berhubung kes penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh, kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Fauzi Abduri berkata Ahmad Ramzi juga adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi parlimen Marang pada pilihan raya umum ke-12 lepas, dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
"Ahmad Ramzi dicari kerana beliau adalah antara individu yang mengeluarkan kenyataan kepada media pada malam ketiga-tiga ADUN itu menerima SMS ugutan berkenaan.
"Polis ingin mendapatkan kepastian sama ada Ahmad Ramzi turut menerima SMS berkenaan atau sebaliknya kerana beliau turut memberi kenyataan kepada media pada malam tersebut," katanya kepada Bernama semalam.
Wartawan Buletinonline yang hadir pada tengah malam 13 April lalu menyedari kehadiran Ahmad Ramzi bersama dua ADUN BN ketika membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu menjadi persoalan.
Zakaria Abdullah ADUN Paka dan Abdul Halim Jusoh ADUN Permaisuri menerima ‘SMS Ugutan Bunuh’ dan merasakan nyawa mereka terancam lalu membuat laporan polis.
Dalam kenyataannya kepada pihak media, Abdul Halim berkata beliau percaya ia ada kaitan berhubung ‘usul undi tidak percaya’ keatas Menteri Besar Dato Ahmad Said.
Halim turut membuat tuduhan, SMS tersebut adalah dari Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, berdasarkan nombor penghantar SMS yang diterimanya.
Manakala Ahmad Ramzi menjadi tumpuan pihak media yang mahu mengambil gambar ‘ayat ugutan bunuh’ dari paparan telefon bimbitnya
Namun, bagaimana SMS tersebut turut terdapat dalam telefonnya tidak dapat dipastikan kerana beliau bukan ADUN dan tidak disenaraikan sebagai salah seorang penerimanya.
Ahmad Ramzi telah berkeliaran di lokasi tersebut dari awal laporan polis dibuat sehingga tamat sidang media kira-kira jam 1.00 pagi.
Menurut ACP Mohd Fauzi Mohd Fauzi, polis telah mencari Ahmad Ramzi dirumahnya tetapi beliau tidak ada.
Hasil siasatan yang dibuat, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun di Bandar Baru Bangi, Selangor Isnin lepas, 20 April, kerana disyaki menghantar SMS ugutan itu.
Beliau berkata perintah tahanan reman ke atas kerani itu dilanjutkan selama tiga hari lagi bagi membolehkan pihaknya melengkapkan siasatan.
"Polis Terengganu juga telah menghantar anggota untuk mengambil komputer di pejabat kerani itu bagi membantu siasatan yang dijangka selesai dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan