Oleh ATIKHAH DALI
KUALA LUMPUR - Tiga lelaki warga India yang terlepas bersama 29 kilogram dadah ketamin berharga RM1.16 juta ketika melalui pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang tidak bertahan lama apabila mereka ditahan di ibu negara 10 jam kemudian.
Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 36 hingga 47 tahun itu ditahan di Brickfields dan Sentul kelmarin.
Mereka yang menggunakan pas pelancong tiba di KLIA pada pukul 7 pagi kelmarin dengan menaiki penerbangan terus dari Mumbai, India ke KLIA.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang suspek dibuat pada pukul 6 petang di hadapan sebuah rumah teres di Jalan Maxwell di sini.
"Ketika ditahan suspek itu sedang menunggu pelanggannya dipercayai bagi menyerahkan dadah tersebut.
"Polis menemui 29 kg ketamin yang dimasukkan ke dalam plastik sebelum dimuatkan pula dalam satu beg," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Lima jam selepas tangkapan itu, menurut Chez Chiang, polis menahan dua lagi suspek di sekitar Brickfields.
Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM1.16 juta mengikut harga pasaran.
Chez Chiang memberitahu, pihaknya sedang menyiasat modus operandi sindiket tersebut termasuk bagaimana mereka boleh membolosi pemeriksaan pihak berkuasa di KLIA.
"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara India bagi mengenal pasti bagaimana dadah itu boleh terlepas semasa pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa di Mumbai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan