Oleh ZULKIFLEE BAKAR
IMPIAN menjadi seorang yang bergelar Yang Berhormat (YB) bagi sesuatu kawasan sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen sememangnya idaman ahli-ahli politik.
Malah kerana berebut tempat itu juga, kita dapat menyaksikan pelbagai perbalahan berlaku tidak kira dalam parti manapun sama ada kerajaan atau pembangkang.
Seharusnya apabila seseorang itu menjadi YB, dalam keadaan apa sekalipun, beliau harus menumpukan sepenuh perhatian dan tenaganya untuk berkhidmat kepada rakyat yang memberikan amanah kepadanya.
Ini kerana ketika berkempen, segala strategi digunakan bagi menarik sokongan malah emosi rakyat dimainkan dengan hasrat memastikan kemenangan seseorang calon. Tetapi malangnya, apabila sudah menang, sekali lagi pilihan raya terpaksa diadakan.
Kalau kerana sakit tenat atau meninggal dunia, ia alasan yang sudah pasti boleh diterima kerana itu di luar kawalan manusia. Namun bagaimana kalau seseorang itu sengaja meletak jawatan tanpa alasan munasabah seperti di Penanti atau sebelum ini di Parlimen Permatang Pauh? Bukankah ini satu tindakan yang bertujuan mempermainkan demokrasi?
Dalam situasi di Penanti atau Permatang Pauh, demokrasi membenarkan pilihan raya diadakan tetapi persoalannya wajarkah seseorang yang sengaja meletak jawatan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan?
Sedangkan akibat perbuatannya itu, jutaan ringgit lagi wang rakyat terpaksa digunakan bagi melunaskan tuntutan demokrasi yang dipermainkan itu. Lebih menyakitkan hati, ketika orang lain turun berkempen bermatimatian ketika pilihan raya kecil diadakan, bekas wakil rakyat terlibat bersenang-lenang di luar negara.
Justeru sudah sampai masanya, tindakan lebih tegas dikenakan kepada mana-mana wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh.
Mungkin ada pihak berhujah, parti yang menganggap pilihan raya kecil itu sebagai satu pembaziran tidak perlu bertanding. Tetapi persoalannya apa pula jaminan bahawa selepas ini mereka juga tidak akan mempermainkan demokrasi dengan mengarahkan wakil rakyat yang lain meletak jawatan? Adakah semuanya sekadar untuk menguji populariti sesebuah parti?
Oleh itu, adalah wajar satu peraturan yang lebih keras dikenakan. Ini termasuklah mengkaji kemungkinan mengharamkan wakil rakyat yang meletak jawatan daripada bertanding semula sampai bila-bila. Ketika ini hukuman yang ada setakat tidak dibenarkan bertanding lima tahun atau sepenggal.
Sememangnya kita akui senario politik negara kini sudah berubah. Malah sokongan kepada pembangkang juga bertambah tetapi ini bukan bermakna mereka boleh mempermainkan demokrasi dengan sewenang-wenangnya.
Kalau benar berjuang untuk rakyat, mereka tidak akan merelakan mana-mana wakil rakyat meletak jawatan sewenang-wenangnya. Ini kerana ia mendatangkan banyak masalah terutamanya menyusahkan hidup rakyat di kawasan terlibat.
Kita memahami selepas memenangi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, keyakinan pembangkang semakin bertambah. Malah berikutan perubahan pucuk pimpinan negara, pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) - yang pemimpinnya begitu bercita-cita menjadi Perdana Menteri - ingin membuktikan teori songsang mereka bahawa kepimpinan negara ditolak rakyat.
Kemenangan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, belum mampu "memuaskan nafsu" politik mereka, apatah lagi ia diadakan ketika pucuk pimpinan negara baru bertukar tangan. Oleh itu, mereka mahu membuktikan kononnya kepimpinan itu ditolak justeru apabila ada peluang untuk mengadakan pilihan raya, maka ia digunakan sepenuhnya.
Pembangkang tidak akan memikirkan kesannya kepada negara, apatah lagi dalam suasana ekonomi sekarang. Bagi mereka semua itu tidak penting, apa yang lebih mustahak mereka ingin terus bermain politik sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.
"Kegilaan" seumpama ini harus dihentikan kerana ia menyebabkan demokrasi dan emosi rakyat dipermainkan. Mereka sekali lagi akan diadu domba pada pilihan raya hanya semata-mata kerana hendak mengisi satu kekosongan wakil rakyat.
Semua ini adalah babak-babak membosankan. Oleh itu ketegasan kerajaan adalah perlu dalam soal ini. Kerajaan perlu berani mencadangkan pindaan ke atas undang-undang pilihan raya bagi menyekat kerusi mana-mana DUN atau Parlimen daripada dikosongkan atas motif politik.
Tidak kisahlah apa pun tafsiran pembangkang tetapi kepentingan rakyat dan usaha menyelamatkan wang negara adalah lebih penting, justeru laksanakanlah.
Jangan biarkan demokrasi di negara ini terus diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak atas nama kebebasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan