HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 April 2009

Perhimpunan membantah keputusan kabinet

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Lajnah Dakwah dan Pembelaan Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru seluruh umat Islam hadir dalam perhimpunan membantah keputusan kabinet berkaitan isu akidah umat Islam.

Pengerusinya, Ustaz Ridwan Mohd Noor berkata, demonstrasi itu akan diadakan di perkarangan masjid kampung Baru selepas menunaikan solat Jumaat, 1 Mei.

Kabinet Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.

Mengulas keputusan itu, Ridwan mendesak supaya Najib mengkaji semula keputusan itu berdasarkan beberapa kes yang telah berlaku dinegera ini.

"Sudah tentu keputusan itu Umno mahu menarik sokongan daripada pengundi bukan Melayu dalam pilihan raya akan datang," tegasnya.

Beliau berkata, keputusan itu akan memberi satu implikasi dan intikasi yang buruk pada masa depan umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, himpunan 1 Mei itu mengajak seluruh rakyat Islam untuk menyatakan sikap mereka dan bukti kasih sayang kepada agama Islam.

"Jika tahun 1950 isu Natrah yang telah dimurtadkan melalui proses undang-undang pada hari ini kes itu berulang. Himpunan membantah isu Natrah itu juga telah berjaya menyatukan umat Islam tanpa mengira etnik," katanya.

Selain itu tambah beliau, ada usaha terancang untuk menjayakan misi permurtadan umat Islam di negara ini kerana kes itu telah berjalan lama.

Beliau berharap Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40 bertanggungjawab menyelamatkan akidah anak-anak dan isterinya.

"Dalam Islam hak membela anak diberikan kepada bapa yang beragama Islam begitu juga jika ibu yang memelok Islam," tegasnya. _

Tiada ulasan: