HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2009

Aku janji sokong Ahmad Said

Muda Mohd Noor


Ketua Umno bahagian di Terengganu yang menghadiri majlis perjumpaan dan taklimat anjuran Umno negeri itu Sabtu lalu, telah menandatangani 'aku janji', antaranya menyokong Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Selain menyokong Ahmad, aku janji itu juga dibuat sebagai tanda patuh dan taat setia kepada institusi raja-raja dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seramai empat ketua bahagian - Hulu Terengganu, Dungun, Marang dan Setiu - menghadiri majlis tersebut.

Manakala empat lagi tidak hadir, iaitu Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Ahmad sendiri (Kemaman), Datuk Wan Ahmad Farid Salleh (Kuala Terengganu) dan Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus).

Idris tidak hadir kerana memang diketahui beliau tidak menyokong Ahmad, manakala Wan Ahmad difahamkan mempunyai urusan lain.

Bagaimanapun, menurut setiausaha Umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan, Wan Ahmad telah menghantar SMS menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ahmad.

Nasir pula, ketika dihubungi Malaysiakini semalam, berkata beliau sedang berada di luar negeri.

Ditanya sama ada beliau menyokong menteri besar, Nasir berkata: "Saya mungkin menyokongnya".

Turut menandatangani aku janji itu ialah lima ketua Wanita bahagian, tujuh ketua Pemuda bahagian serta lima ketua Puteri bahagian di Terengganu yang turut menghadiri majlis tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pemuda Besut, Mahadi Musa yang turut menghadiri majlis tersebut yang diadakan di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu malam Sabtu lalu.

Penjelasan Mahadi

Mahadi, walaupun menandatangani aku janji tersebut, berkata beliau hanya menyokong institusi raja dan perdana menteri.

“Oleh kerana ketua Umno bahagian saya iaitu Datuk Seri Idris tidak menyokong Ahmad, saya juga tidak menyokongnya (Ahmad),” katanya.

Menurut Mahadi lagi, ketua Wanita yang hadir ialah dari bahagian Besut, Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Dungun.

Manakala yang tidak hadir ialah ketua Wanita Kemaman, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

“Ketua Pemuda Setiu, Che Khazan Che Mat yang juga exco kerajaan negeri, tidak hadir, kerana difahamkan sedang berada di Indonesia,” katanya.

Mahadi berkata, tiga ketua Puteri - Besut, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu - juga tidak hadir.

Katanya, ketua Pemuda negeri, Ahmad Sabri Alwi dan Ketua Wanita negeri, Nordiana Shafie juga tidak hadir di majlis tersebut.

menteri besar, bagaimanapun, katanya tidak hadir dan berikutan itu Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang memberi taklimat mengenai isu-isu politik semasa di Terengganu.

Kemelut politik Terengganu tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang dewan DUN setelah tiga daripada mereka menerima SMS berbaur ancaman.

Mereka ialah ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid, ADUN Permaisuri Abdul Halim Jusoh dan ADUN Paka Zakaria Ariffin @ Abdullah.

Semalam polis menahan seorang kerani swasta di Bangi berhubung siasatan mengenai penghantaran SMS tersebut.

Sementara itu, Umno negeri mengadakan mesyuarat bulanannya malam tadi.

Nordiana, yang juga ketua penerangan Puteri Umno Malaysia, ketika dihubungi berkata, ia hanya merupakan mesyuarat bulanan biasa, yang turut dihadiri oleh menteri besar.

Mesyuarat tersebut - yang dihadiri oleh pemimpin Umno bahagian - hanya membincangkan urusan parti, tetapi difahamkan ia tidak menyentuh tentang kemelut politik sekarang.

Tiada ulasan: