HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2009

600 kontraktor mungkin gulung tikar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lebih 600 syarikat kontraktor menghadapi risiko gulung tikar ekoran tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) membekukan projek penggantian paip lama dan paip komunikasi bernilai RM2.6 bilion.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Air Selangor, Ang Chin Hann, berkata antara 20,000 dan 30,000 orang mungkin kehilangan pekerjaan kerana majikan dalam sektor berkaitan tidak lagi mampu untuk menggaji mereka.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata bahawa setelah enam bulan projek itu ditangguhkan, tiba-tiba Syabas mengumumkan ianya dibekukan tanpa sebarang notis kepada kontraktor terbabit.

"Kami semua sangat terkejut apabila membaca berita mengenai pembekuan projek menerusi akhbar hari ini. Kami langsung tidak dimaklumkan mengenainya oleh pihak pengurusan Syabas," katanya merujuk kepada kepada pengumuman pembekuan projek itu oleh Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail semalam.

Dalam pengumumannya itu, Rozali menjelaskan bahawa pembekuan itu adalah atas arahan kerajaan ekoran penyusunan semula sektor pengurusan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ang berkata anggota persatuan itu berharap agar kerajaan menimbang semula arahan pembekuan itu, kerana selain menjejaskan ramai kontraktor termasuk kontraktor Bumiputera, langkah itu juga akan menyebabkan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdepan risiko gangguan bekalan air.

"Kebanyakan anggota persatuan terdiri daripada anak negeri Selangor, jadi kami banyak bergantung pada projek Syabas untuk beroperasi. Tolonglah fikirkan nasib kami semua terutama dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang," katanya.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata projek yang dibekukan itu bernilai RM300 juta dan bukannya RM2.6 bilion, kerana menurut beliau, Syabas telahpun melaksanakan projek itu bernilai RM2.3 bilion.

"Jadi kenyataan Syabas tidaklah berapa tepat," katanya.

Tiada ulasan: