HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 April 2009

Wujud semula MECD bantu Melayu

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mewujudkan kembali Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang telah dimansuhkan bagi meneruskan agenda membela kaum bumiputera dengan berkesan.

Antara agensi yang merasa kesan di atas pemansuhan ini adalah agensi utama MECD iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang selama ini begitu sinonim dalam menjayakan agenda Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara Malaysia , Meriyam Abd. Majid berkata, pemansuhan MECD ini seperti telah menyentap semangat dan roh kita yang selama ini bumiputera bernaung di bawahnya.

“Kita akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Malaysia berhubung pemansuhan ini dan kita mahu perbincangan dapat diadakan kerana Giatmara sendiri tidak tahu ke mana punca mereka selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penutup Pertandingan Kemahiran Malaysia ke 18 (bidang ICT) di Giatmara Wilayah Persekutuan di Keramat baru-baru ini.

Katanya, beliau bukanlah bermaksud untuk membantah perlaksanaan ini tetapi banyak perkara yang perlu diambil kira khususnya Giatmara yang membela dan memartabatkan bangsa Melayu.

Bagaimanapun, beliau turut mencadangkan supaya penjenamaan semula dilakukan seperti mengekalkan ‘Pembangunan Usahawan’ dalam Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Malah kalau boleh, kita juga mencadangkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diletakkan di bawah Perdana Menteri sepertimana Felda,” katanya.

MECD adalah antara kementerian yang dimansuhkan dan disusun semula dalam pengumuman barisan Kabinet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun razak baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Meryam mengingatkan orang Melayu berubah dengan banyak membantu membeli produk orang Melayu dan perlu mempunyai perasaan sayangkan orang Melayu untuk lebih maju.

“Walaupun produk orang Melayu mahal RM 1, kita harus membantu peniaga tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: