HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 April 2009

Perwakilan diingat jangan ambil kesempatan pecah belah parti

Saidah Hairan


SUNGAI BESAR -Timbalan Pesuruhjaya PAS 3, Negeri Selangor, Dr Rosli Che Mat mengingatkan perwakilan PAS Kawasan Sungai Besar supaya tidak mengambil kesempatan untuk memecah belahkan kesepaduan ahli PAS dengan adanya pertandingan pimpinan di semua peringkat.

Menurut beliau, ahli dan pimpinan PAS merupakan pejuang Islam dan perlu mengambil konsep demokrasi dalam memilih pemimpin tanpa memecahbelahkan perpaduan ahli PAS.

Ini kerana katanya, ada pihak media yang mengambil kesempatan untuk terus memecah-belahkan ahli PAS dengan mendakwa pimpinan PAS di peringkat negeri dan Pusat berpecah dua.

"Saya ditanya oleh media sama ada berpihak kepada golongan erdogan atau Ulama. Saya tanya semula kepada media tersebut siapa Ketua pimpinan golongan erdogan," katanya ketika merasmikan mesyuarat PAS Kawasan Sungai Besar kali ke-6, di Dewan Orang Ramai Simpang Lima, pagi tadi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam PAS dari dulu hingga sekarang tidak pernah wujud golongan yang menyokong pimpinan (erdogan) dan (Ulama).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berharap perwakilan dalam mesyuarat itu dapat memilih pemimpin secara demokrasi supaya tiada rasa dendam dikalangan mereka yang tidak terpilih.

Selain itu Dr Rosli turut mengingatkan ahli dan pimpinan PAS supaya terus mendekati anak-anak muda dan golongan yang atas pagar dan masih belum menyokong PAS dengan memberi penjelasan berkenaan PAS dengan benar.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzlin Taslimin dalam ucapan turut mengingatkan ahli dan perwakilan PAS supaya jangan membesarkan masalah remeh temeh kerana ada perkara yang lebih besar perlu diselesaikan.

"Ahli PAS jangan mudah putus asa, kecewa dan iri hati dalam perjuangan kerana Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar tetap teruskan perjuangan walaupun ada dikalangan sahabat tidak mematuhi arahannya," katanya.

Beliau berkata, selepas Selangor mencapai kemenangan ahli PAS perlu bekerja keras untuk terus mengekalkan kemenangan kerana ia merupakan satu kerja yang susah.

Dalam mesyuarat agung ke6 itu semua pimpinan di peringkat Kawasan telah dipertandingkan kecuali Naib Yang Dipertua telah dimenangi tanpa bertanding iaitu, Cikgu Mohamad Saleh Husin.SH _

Tiada ulasan: