SM Noor
KUALA NERUS – Dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terengganu pada hari ini, negeri Terengganu dijangka akan kembali dibawah pemerintahan PAS.
Sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Ahmad Said dilantik sebagai Menteri Besar pada Mac tahun lalu, tidak ada sebarang projek pembangunan ‘untuk rakyat’ dapat dinikmati.
Manakala pembangunan yang dikatakan dilaksanakan dibawah pentadbiran bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh hanyalah sebuah retorika yang membazirkan wang rakyat.
“Pilihanraya kali ke 13 ini, InsyaAllah bukan takabbur, InsyaAllah dengan izin Allah, PAS akan kembali memerintah,
“dengan tingkah laku pemimpin-pemimpin UMNO hari ini, pembaziran yang dibuat oleh bekas Menteri Besar Idris Jusoh, (cukup) dahsyat, wang yang dibelanjakan berjuta ringgit hilang entah kemana,
“tambah dengan Abang Mad (Ahmad Said) jadi ‘nanar’, nak memerintah tak boleh, duduk situ dia bubuh pepijat, bangun situ duduk ada pepijat, niaya kepada Abang Mad le ni (sekarang),”kata Ahli Jawatankuasa PAS Besut, Abdul Halim Tausah (Abang Din) dalam majlis penerangan di Mengabang Telipot dekat sini.
Beliau mencadangkan supaya Ahmad Said mengikut jejak langkahnya, yang meninggalkan UMNO dan menyertai PAS.
Beliau yang meninggalkan UMNO dan menjadi ahli PAS pada tahun 1988 berkata hidup beliau dalam PAS tenang dan selesa.
“Abang Din (saya) mula masuk PAS dulu kurus, sekarang dah gemuk, sedap duduk, makan lalu, marilah Abang Mad (menyertai PAS),”katanya.
Antara pembaziran yang dilakukan oleh Idris katanya adalah pembelian pokok-pokok hiasan dari plastik dan pembinaan chalet yang menelan belanja RM 1 juta sebuah (gambar atas).
“Kes chalet (di) Pulau Duyong, satu chalet dua bilik (berharga) RM1 juta, 58 (buah) chalet (berharga) RM58 juta, chalet apa yang mahal sangat ?,”jelasnya.
Katanya pentadbiran kerajaan negeri Terengganu sekarang menjadi kucar-kacir kerana Idris cuba menutup segala kesalahannya, manakala Ahmad Said tidak dapat melaksanakan kerja kerana terpaksa menanggung kesilapan yang telah Idris lakukan.
Sehingga kini, kata beliau, banyak projek-projek yang dilaksanakan oleh Idris tidak siap dan terbengkalai.
“Marilah ke Jerteh kawasan Idris Jusoh kalau nak lihat projek-projek yang dilaksanakan oleh Idris sejak mula jadi Menteri Besar, sehingga hari ini tidak siap-siap,
“bila naik Ahmad Said, orang (kontraktor) nak buat tuntutan, tak boleh nak bayar, tidak ada ‘prosedur’, tidak ada ‘tender’, tidak ada rundingan, tidak ada pelan,”tegasnya.
Beliau mendedahkan pembaziran yang amat ketara yang dilakukan di bandar Jerteh adalah pembinaan empat buah gerai yang berharga RM 1.2 juta.
Katanya gerai tersebut tidak diluluskan oleh pihak Jabatan Kerja Raya kerana ia dibina atas rezab jalan, tanpa sebarang pelan bangunan dan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan