HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 April 2009

SPR lulus logo PSM

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Parti Sosialis Malaysia (PSM) dapat mengekalkan lambang 'genggaman tangan' sebelah kiri yang digunakan parti tersebut setelah Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) meluluskan penggunaan logo tersebut.

Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim mengesahkan perkara tersebut diambil dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kali ke-692 pada 15 April lalu dan dimaklumkan kepada PSM melalui surat bertarikh 20 April 2009.

"PSM mengalu-alukan keputusan ini. PSM berpendirian bahawa perjuangannya yang berterusan dan berani selama sebelas tahun merupakan inti kejayaan PSM mendapat pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan(ROS), KDN dan SPR. Walaupun kebebasan untuk menubuhkan parti politik adalah hak yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Negara.

"Keputusan ini juga memberi implikasi PSM boleh menggunakan simbol ini dalam Pilihan Raya Umum serta Pilihan Raya kecil pada masa akan datnag. Dalam tiga Pilihan Raya Umum sebelum ini, PSM telah menggunakan simbol Parti Pembangkang iaitu DAP pada 1999 dan KeADILan pada 2004 dan 2008,"katanya dalam sidang akhbar di pejabat PSM, Brickfileds hari ini.

Turut serta dalam sidang akhbar tersebut Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM, M. Sarasvathy dan Ahli Jawatankuasa PSM, V.Selvam.

Setelah 10 tahun berjuang untuk mendapatkan pendaftaran bagi parti tersebut termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah, PSM telah mendapat pendaftaran di bawah seksyen 7, Akta Pertubuhan 1966 pada 19 Ogos 2008.

Pada 13 Februari lalu, PSM mendapat maklum balas daripada pihak SPR bahawa dalam mesyuarat SPR pada 14 Oktober 2008, badan tersebut telah membuat keputusan supaya mendapat penjelasan lanjut daripada Pendaftar Pertubuhan berhubung simbol PSM.

"SPR berpandangan logo parti kami ini kurang sesuai daripada prinsip moral kerana dikatakan simbolnya bercorak kekerasan. SPR mengatakan pihaknya mempunyai kuasa untuk menolak pendaftaran simbol parti politik mengikut peruntukan Seksyen 16(1) (bb) Akta Pilihanraya 1958.

"Tindakan SPR itu menyebabkan kami menghantar memorandum kepada SPR pada 19 Mac lalu kerana tidak berpuas hati dengan sikap SPR yang telah melengah-lengahkan pendaftaran simbol PSM,"tegasnya.

Mohd Nasir yang juga Adun Kota Damansara menegaskan SPR memberi alasan yang tidak kukuh untuk mempertimbangkan pendaftaran logo PSM itu.

Sehubungan itu katanya,tindakan tersebut secara tidak langsung menyekat hak demokrasi untuk PSM bertanding dalam pilihan raya dan terlibat secara langsung dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, M. Sarasvathy menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa lambang yang digunakan PSM sebelum digunakan secara tidak sah.

"SPR meluluskan penggunaan logo yang telah digunakan PSM sebelum ini. Dan ini bukan bermakna sebelum ini kami menggunakan logo tersebut secara tidak sah,"tegasnya. - mks. _

Tiada ulasan: