UTUSAN ONLINE
KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dukacita kerana belum ada kajian universiti untuk menghasilkan racun membasmi makhluk perosak yang menyerang tanaman mempelam harumanis.
Baginda menyuarakan perkara itu kerana permintaan lamanya supaya universiti tempatan mencari racun perosak harumanis masih gagal ditemui.
''Semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong dahulu, saya sudah meminta universiti di negara ini mencari jalan untuk mengatasi serangan makhluk perosak yang menyerang buah dan batang pokok harumanis.
''Namun demikian, sehingga kini belum ada mana-mana universiti yang berjaya mencari jalan penyelesaian kepada masalah berkenaan,'' tegasnya.
Baginda menyatakan perkara itu semasa bertitah menutup Pesta Harumanis 2009 di Pusat Pertanian Bukit Bintang di sini hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis berkenaan.
Sehubungan itu, Raja Perlis berharap agar universiti tempatan berusaha memberi penekanan untuk menghasilkan formula atau racun berkenaan untuk manfaat jangka panjang.
Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin juga menyuarakan kekecewaannya apabila menerima rungutan daripada pembeli harumanis yang mendakwa sebahagian buah itu di pasaran busuk dan berulat.
''Ada (pembeli harumanis) yang membuat aduan kepada saya bahawa sebahagian harumanis Perlis bukan sahaja tidak manis, tetapi berulat dan buruk.
''Saya berharap para pemilik ladang berkenaan dapat mengutamakan penjagaan pokok dan buah. Ini termasuklah membalut buah itu bagi menghasilkan harumanis bermutu tinggi,'' titah baginda.
Raja Perlis menyatakan dukacita baginda apabila kegiatan mencuri harumanis masih berterusan.
''Baru-baru ini, saya membaca surat khabar mengenai kes mencuri harumanis. Saya cukup kecewa dengan kejadian begini. Harap janganlah mencuri... susah kerja polis.
''Kita janganlah mencuri rezeki orang lain. Bagi mendapatkan rezeki, carilah yang halal.'' tegas baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin kemudian memuji Jabatan Pertanian Perlis yang berjaya menguruskan 45 hektar ladang harumanis di Bukit Bintang.
Baginda ternyata berbangga kerana 45 hektar ladang tersebut boleh menghasilkan 120 tan harumanis semusim.
''Di Perlis ada kira-kira 80 hektar ladang harumanis. Jumlah hasil ladang harumanis Jabatan Pertanian mencapai 120 tan. Itu belum diketahui hasil ladang persendirian,'' titahnya.
Terdahulu, di awal titahnya, Raja Perlis membuatkan hadirin ketawa seketika apabila baginda mengaitkan musim harumanis dengan sambutan keputeraannya.
''Syukurlah kepada Allah kerana memberikan musim harumanis pada bulan Mei. Jadi, setiap Mei orang akan tertumpu ke Perlis kerana harumanis. Kalau tak ingat hari lahir saya pun tak apalah... asal ingat harumanis Perlis,'' titah baginda sambil tersenyum.
Baginda akan menyambut hari keputeraan yang ke-66 pada 17 Mei ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan