HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Oktober 2009

Harga alat 2,360.5% lebih tinggi

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR - Memeranjatkan, apabila harga peralatan yang dibekalkan untuk makmal telekomunikasi Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri iaitu pole platform, 2,360.5 peratus lebih tinggi daripada dua ILP lain.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2008 harga peralatan itu di ILP Miri adalah RM30,510 seunit sedangkan harga yang dikenakan oleh pihak pembekal bagi ILP Kepala Batas hanya RM1,240 seunit.

Begitu juga dengan ILP Sandakan, kata laporan itu, pihak pembekal telah menetapkan harga peralatan tersebut, RM1,600 seunit.

Sedangkan, kata laporan tersebut harga pasaran pole platform sebenarnya adalah RM990.

Satu lagi alat yang dinamakan amplifier juga menunjukkan perbezaan harga ketara iaitu harganya seunit di ILP Miri adalah RM38,138, ILP Kepala Batas (RM11,500) dan ILP Sandakan (RM25,100).

Berasaskan kepada harga yang disenaraikan itu perbezaan harga amplifier antara paling tinggi (ILP Miri) dan paling rendah (ILP Kepala Batas) adalah 231.6 peratus.

Amplifier adalah antara peralatan yang digunakan di dalam makmal telekomunikasi.

Selain dua peralatan tersebut, laporan itu menyebut terdapat perbezaan harga empat lagi peralatan yang dibekalkan kepada tiga ILP berkenaan untuk kegunaan makmal telekomunikasi.

Empat peralatan itu adalah copper splicing kit, fibre splicing machine, CATV optical fiber identifier dan dual DC power supply.

Di ILP Sandakan, harga seunit copper splicing kit yang ditetapkan adalah RM69,727, ILP Kepala Batas, RM52,000 dan ILP Miri RM43,757.

''Harga bagi enam peralatan yang mempunyai model dan spesifikasi sama bagi bengkel telekomunikasi di ILP Miri, ILP Kepala Batas dan ILP Sandakan didapati berbeza dengan ketara.

''Masing-masing dibekalkan oleh Naim Cendera Sdn. Bhd., Maflink Engineering Sdn. Bhd. dan Komponen Utama Sdn. Bhd.,'' kata laporan tersebut.

Perbezaan harga seunit mengikut semua jenis peralatan kata laporan itu berbanding harga terendah dibekalkan kepada ILP adalah antara 18.8 peratus hingga 2,360.5 peratus.

Sementara itu laporan tersebut turut menyebut bahawa harga empat peralatan yang mempunyai model serta spesifikasi sama bagi bengkel juruelektrik di ILP Miri, ILP Kepala Batas dan ILP Sandakan berbeza dengan ketara.

Kesemua peralatan itu dibekalkan oleh tiga syarikat pembekal yang sama iaitu Naim Cendera, Maflink Engineering dan Komponen Utama.

''Perbezaan harga seunit mengikut jenis peralatan berbanding harga terendah dibekalkan kepada ILP adalah antara 32.9 peratus hingga 294.2 peratus,'' kata laporan tersebut.

Antaranya satu peralatan yang diberi nama heavy duty ratchet.

Di ILP Miri harga yang ditetapkan oleh pihak pembekal seunit adalah RM2,649 manakala di ILP Kepala Batas harga alat itu hanya RM672.

Bagi satu alat yang dikenali dengan primary and secondry injection tester, set harga yang ditetapkan oleh pembekal di ILP Sandakan adalah RM130,000 satu set, ILP Kepala Batas (RM119,122) dan ILP Miri (RM84,084).

Ekoran perbezaan itu, pihak audit telah mengeluarkan pandangan bahawa perbezaan harga yang ketara antara ketiga-tiga ILP itu tidak sewajarnya berlaku kerana sebahagian keanggotaan Jawatankuasa Rundingan Harga terdiri daripada pegawai sama.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam seperti mana dalam laporan akhbar hari ini pula telah mengarahkan siasatan dibuat terhadap pembelian pole platform tersebut.

Tiada ulasan: